Pages

Monday, October 7, 2013

Polis serbu rumah ketua militan Moro


ZAMBOANGA: Polis Filipina telah menyerbu ke rumah ketua sebuah kumpulan pemisah Islam, yang didakwa mendalangi satu serangan gerila membawa maut di sebuah bandar selatan Filipina baru-baru ini, sambil merampas beberapa dokumen dan barangan lain dalam operasi pagi semalam itu, kata seorang pegawai.
Ketua Inspektor Ariel Huesca memberitahu agensi berita AFP bahawa para pegawai pihak berkuasa telah menggunakan bahan letupan untuk memasuki pekarangan kediaman milik Encik Nur Misuari yang dikunci itu di pinggir bandar Zamboanga.
"Polis Kebangasan Filipina terpaksa memasuki pekarangan itu. Tiada seorang pun ditangkap," kata Encik Huesca, yang juga jurucakap bagi pihak polis di wilayah selatan Filipina itu, sambil menambah bahawa Encik Misuari tidak ada di tempat tersebut ketika itu.
Polis telah meminta pihak pendakwa raya supaya mengenakan dakwaan ke atas Encik Misuari dan para pengikutnya, yang bertempur dengan pihak polis dan askar Filipina di Zamboanga pada bulan lalu, yang menyebabkan 200 orang terbunuh.
Encik Misuari dituduh mengerahkan para pengikutnya dari Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) yang bersenjata ke Zamboanga pada 9 September lalu untuk cuba menghalang satu perjanjian damai yang dirancang antara pemerintah Filipina dengan sebuah kumpulan pesaingnya.

Pemerintah Filipina menuduh kumpulan bersenjata itu menahan tebusan awam dan membakar lebih 10,000 rumah.
Ia mengisytiharkan telah dapat mematahkan tindakan kumpulan pemisah itu pada Sabtu lalu dan berjaya membebaskan baki 195 tebusannya.
Encik Huesca berkata pihak polis telah diarahkan menangkap Encik Misuari dan merampas bekalan senjatan yang telah disimpan di pekarangan kediamannya yang dikepung oleh dinding tinggi di sebuah daerah perumahan golongan pertengahan, kira-kira tujuh kilometer dari tempat kejadian pertempuran.
Para penyiasat telah merampas beberapa dokumen dan "barangan lain" daripada hartanah milik Encik Misuari itu, kata beliau, tetapi enggan memberi butir lanjut mengenainya.
Kumpulan-kumpulan pemisah Islam telah berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan atau status autonomi di selatan Filipina - sebuah negara yang mempunyai majoriti penganut Kristian Katolik - sejak 1970-an.
Dianggarkan sekitar 150,000 orang maut dalam konflik yang berpanjangan itu.
MNLF, yang diasaskan oleh Misuari, pernah menandatangani satu perjanjian damai pada 1996, yang membolehkan puak minoriti di selatan Filipina itu mentadbir diri mereka secara terbatas.
Namun, kumpulan itu menentang satu perjanjian damai yang dirancang antara pemerintah Filpina dengan satu lagi kumpulan pemisah, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang dilihatnya telah meminggirkan Encik Misuari. - AFP.

No comments:

Posting Terkini