WELLINGTON: Gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter melanda New Zealand semalam, menggegarkan ibu kota negara itu tetapi tiada amaran tsunami yang dikeluarkan.
Gempa itu melanda pada 5.09 petang (waktu tempatan) di Selat Cook, sekitar 57 kilometer ke barat daya Wellington dengan kedalaman 14 kilometer, menurut Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Pihak USGS awalnya melaporkan gempa itu berukuran 6.9 pada skala Richter.
Gempa itu disusuli satu lagi gempa berukuran 5.5 dan berlaku sekitar 10 jam setelah gegaran sekuat 5.8 di kawasan sama yang telah digegarkan gegaran berganda sejak beberapa hari lalu.
Berpuluh gempa dicatatkan berlaku semalam dengan khidmat pantauan gempa New Zealand, GeoNet, menyifatkan gempa sekuat 6.5 yang dirasakan di banyak kawasan sebagai "teruk".
"Berlaku gegaran dan getaran selama sekitar 30 saat," kata seorang penduduk bandar Nelson di South Island.
Jabatan bomba turut menerima banyak panggilan meminta bantuan daripada penduduk yang terperangkap dalam lif di Wellington.
Gempa yang berlaku itu juga menyebabkan sistem pemercik air (sprinkler) dalam bangunan di kawasan bandar menjadi aktif dan memotong bekalan elektrik di beberapa kawasan.
Ahli seismologi, Cik Anna Kaiser, memberitahu akhbar New Zealand Herald bahawa gempa sekuat itu tidak asing di rantau itu.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik menyatakan gempa sekuat itu boleh menyebabkan berlakunya tsunami tempatan, tetapi tiada ancaman "tsunami pemusnah yang meluas".
Pihak berkuasa pertahanan awam New Zealand berkata gempa itu "tidak berkemungkinan menyebabkan tsunami yang akan mengancam New Zealand".
Kejadian gempa di kawasan itu baru-baru ini berpusat sekitar 200 kilometer ke utara bandar kedua terbesar negara itu, Christchurch.
Pada Februari 2011, gempa sekuat 6.3 menumbangkan bangunan yang menimpa para pekerja yang keluar makan tengah hari dan menyebabkan 185 orang terkorban.
New Zealand berada pada lingkaran yang dipanggil lingkaran gunung berapi Pasifik atau Pacific Ring of Fire.
Ia berada di sempadan plat tektonik Australia dan Pasifik dan mengalami 15,000 gegaran setahun. - AFP.
No comments:
Post a Comment