Pages

Tuesday, July 23, 2013

Paris dicengkam keganasan selepas wanita berpurdah ditahan

PARIS: Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Manuel Valls, berkata pasukan keselamatan akan terus diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sedang keganasan di kejiranan Paris berlarutan pada malam kedua kelmarin.
Keganasan itu tercetus selepas pihak polis menahan seorang wanita Islam yang memakai purdah minggu lalu.
Dalam wawancara dengan radio setempat, Encik Valls berkata pasukan keselamatan akan dikerahkan di bandar Trappes, ke barat daya Paris, "sehingga keadaan kembali aman."
Sekurang-kurangnya empat orang ditahan awal pagi kelmarin selepas perusuh membakar sekitar 20 kenderaan di bandar itu dan kawasan sekeliling.
Sabtu lalu, sekitar 250 belia telah mula berhimpun di Trappes dan melempar batu ke arah pasukan polis yang bertindak balas dengan gas pemedih mata.
Seorang budak lelaki berusia 14 tahun mengalami kecederaan serius pada matanya dalam kejadian itu.
Beberapa pegawai polis juga dilaporkan cedera.
Dalam kejadian Khamis lalu, seorang pegawai polis dilaporkan telah menahan seorang wanita yang memakai purdah.
Semasa wanita itu diperiksa, suaminya menyerang dan cuba mencekik pegawai polis berkenaan.
Bagaimanapun, badan-badan Islam setempat menuduh pegawai polis itu yang sengaja melakukan 'provokasi'.
Encik Valls berkata beliau yakin bahawa pegawai polis itu telah memeriksa wanita itu dengan hormat.
Sejak April 2011, Perancis telah menguatkuasakan larangan memakai purdah, sekali gus menimbulkan kemarahan masyarakat Islam setempat.
Mereka yang melanggar larangan itu boleh dikenakan denda sehingga 150 Euro ($249).
Pihak berkuasa berkata sekitar 300 wanita telah melanggar larangan itu pada tahun pertama penguatkuasaan. - AFP.

No comments:

Posting Terkini