Pages

Thursday, May 23, 2013

Oklahoma bak dilanggar geroda


MOORE Oklahoma
MUSNAH: Gambar yang diambil dari udara ini menunjukkan betapa hebatnya kemusnahan yang berlaku ke atas rumah-rumah dan bangunan-bangunan di kawasan subbandar Moore, di Oklahoma, Amerika Syarikat, angkara dilanda puting beliung.- Foto AFP


MOORE (Oklahoma): Para penduduk kembali semula ke kawasan subbandar Moore, semalam, untuk melihat sendiri betapa hebatnya kemusnahan yang ditinggalkan oleh puting beliung raksasa di daerah pinggiran Bandar Oklahoma itu.
Sekurang-kurangnya 24 orang maut dalam kejadian tersebut - selepas perangkaan kematiannya diturunkan secara rasmi daripada 91 orang, kelmarin.

Sembilan kanak-kanak adalah antara mereka yang terkorban - tujuh daripadanya adalah mereka yang maut di Sekolah Rendah Plaza Tower, yang terjejas teruk akibat puting beliung raksasa itu.
Kira-kira 240 orang cedera.
Keseluruhan kawasan kejiranan Moore habis musnah ditiup angin puting beliung besar sekencang 321 kilometer sejam (kph).
Puting beliung besar itu diklasifikasikan sebagai berada di paras EF5 pada skala Fujita-Pearson, menurut Encik Kelly Pirtle, daripada agensi cuaca Makmal Ribut Teruk, dekat Norman, Amerika.
Mereka yang menaiki pesawat dan terbang di ruang angkasa Bandar Oklahoma itu mungkin dapat melihat serpihan yang ditinggalkan oleh bencana alam yang berlaku Isnin lalu selama 45 minit itu.
"Ia sesuatu di luar dugaan. Ia amat menakutkan," kata Encik Roger Graham, seorang akauntan berusia 32 tahu, sedang beliau mencari barangan yang boleh diselamatkan daripada celahan runtuhan rumah tiga biliknya yang dikongsi bersama isterinya, Cik Kalissa, seorang guru.
Semalam, kakitangan pasukan penyelamat meneruskan usaha mereka, daripada satu bangunan ke bangunan lain, mencari mangsa dan mereka yang terselamat di celahan runtuhan rumah mereka yang dimusnahkan oleh puting beliung itu.
Selepas sepanjang hari mencari - kakitangan kecemasan terpaksa mengangkat pintu-pintu yang pecah, membersihkan bahagian dinding yang pecah dan membuang ke tepi serpihan batu untuk mencari mereka yang selamat bersama anjing-anjing penghidu.
Mayor bandar Moore, Encik Glenn Lewis, berkata beliau percaya semua yang maut dan mereka yang hilang telah diambil kira, dan usaha mencari dan menyelamat akan selesai tidak lama lagi.
"Kami telah memeriksa kawasan itu dengan alat pengesan imej terma, serta pergi dari pintu ke pintu, jadi kami rasa kami sudah bersedia melanjutkan daripada usaha menyelamat dan mencari kepada pemulihan," kata Encik Lewis kepada stesen televisyen CNN.
Memberi reaksinya terhadap bencana alam itu, Presiden Barack Obama semalam meluahkan rasa sedih beliau apabila melihat ruang-ruang kosong yang pernah menjadi tapak rumah-rumah dan sekolah-sekolah di kawasan kejiranan Moore itu.
Beliau berikrar untuk berdiri teguh bersama para penduduk Oklahoma yang terpaksa menjalani keperihan hidup selepas dilanda bencana alam itu.
Antara mereka yang terbunuh termasuk kanak-kanak berusia ke bawah 12 tahun, yang terperangkap dalam sekolah rendah yang teruk dijejas puting beliung seluas 800 meter itu.
"Puluhan orang kehilangan nyawa, ramai lagi yang cedera dan antara mangsa-mangsa itu adalah kanak-kanak kecil yang cuba mendapatkan perlindungan dalam tempat lebih selamat yang mereka ketahui," kata Encik Obama di Rumah Putih.
Sambil menyifatkan kejadian ribut itu sebagai salah satu antara kejadian "puting beliung paling dahsyat dalam sejarah", Encik Obama berkata kerajaan federal akan memainkan peranan besar dalam usaha menyelamat di Moore dan program pembangunan semula akan datang. - AFP, AP, Reuters.

1 comment:

Anonymous said...

Nak tanya admin... "geroda" ke "garuda".. hehe

Posting Terkini