Pages

Wednesday, April 17, 2013

Nurul Izzah Anwar dan Datuk Saifuddin Abdullah 'bincang intelek' di restoran


Nurul Izzah Anwar dan Datuk Saifuddin Abdullah 'bincang intelek'
BERAMAH MESRA: Datuk Saifuddin (dua dari kiri) beramah-tamah dengan Cik Nurul Izzah selepas sesi 'perbincangan intelek' antara mereka mengenai manifesto BN dan PR di Bangsar kelmarin.
KUALA LUMPUR: Sekumpulan penduduk Bangsar di sini bersesak memenuhi ruang kecil sebuah restoran untuk mendengar sendiri 'perbincangan intelek' antara pemimpin politik daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kelmarin.
Dua pemimpin itu ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Cik Nurul Izzah Anwar.
Kaedah itu berbeza daripada ceramah politik biasa, yang lazimnya diadakan di kawasan lapang, siap dengan gerai-gerai makanan, dengan penonton perlu membawa tikar atau surat khabar untuk dijadikan alas tempat duduk.
Namun, matlamatnya sama, mendengar perbincangan intelek antara pemimpin kerajaan dan pembangkang.
Tumpuan perbincangan mereka ialah mengenai manifesto parti masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei ini.

"Dengan pilihan raya semakin hampir ini, kita lihat banyak ceramah politik... namun tidak ada satu pun ceramah yang melibatkan perbincangan intelek.
"Kami berasa ada keperluan melaksanakan acara seperti ini," kata seorang peguam yang mengusahakan ceramah itu, Encik Edward Soo, 33 tahun, kepada laman berita The Malaysian Insider (TMI).
Menurut beliau, ini kerana tidak semua orang suka pergi ke ceramah atas alasan tertentu, khususnya dari segi keselamatan.
Itu kali kedua beliau mengusahakan ceramah serupa itu dalam dalam minggu ini.
Ia akan terus diadakan sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei, ujar Encik Soo.
Ceramah pertama menampilkan pengerusi bersama Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, dan presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Lau.
"Ia sebagai sebahagian daripada usaha memberikan maklumat kepada orang ramai tentang perkara intelektual. Sekarang, saya rasa, orang ramai lebih bersifat emosional, berat sebelah dan semuanya berkenaan personaliti," kata Encik Soo.
Tetamu ceramah berpeluang menyaksikan pembentangan dua hala oleh kededua penceramah, berbanding ceramah politik biasa yang biasanya merupakan perhubungan sehala dengan hadirin tidak diberi peluang bertanya kepada penceramah.

No comments:

Posting Terkini