NEWTOWN (Connecticut): Menyusuli kejadian penembakan di sebuah sekolah rendah semalam, para penduduk sebuah bandar New England, yang jelas masih diselubungi kesedihan, pastinya mahu mencari jawapan punca tindakan kejam yang dilakukan oleh seorang lelaki muda itu.
Kisah hidup Adam Lanza akan dikaji, dianalisa dan dianalisa semula dengan teliti dalam beberapa hari mendatang apabila para penyiasat menyelongkar latar belakang pemuda berusia 20 tahun itu.
Menurut sumber-sumber pihak berkuasa, Lanza telah kembali ke sekolah rendahnya, Sandy Hook Elementary School, di Newtown dan terdorong melakukan jenayah kejamnya itu.
Sejauh ini, hanya terdapat beberapa bukti tetapi jawapan yang dicari belum lagi ditemui.
Pihak polis belum secara rasmi mengesahkan Lanza adalah penembak yang membunuh 20 kanakkanak berusia antara lima dengan 10 tahun, enam orang dewasa dan dirinya sendiri di sekolah yang terletak di wilayah Connecticut itu.
Seorang lagi orang dewasa ditemui mati dalam sebuah rumah berdekatan, menjadikan perangkaan akibat insiden penembakan itu mencecah 28 orang.
Bagaimanapun, polis masih belum mengesahkan laporan-laporan media bahawa orang berkenaan adalah ibu Lanza, Cik Nancy Lanza.
Lanza adalah seorang pelajar pemalu tetapi amat bijak, menurut bekas teman sedarjahnya.
Di Sekolah Tinggi Newtown, dia berpakaian lebih kemas dan formal berbanding pelajar lain, kata Encik Tim Arnone, yang pertama kali menemui Lanza di Sandy Hook Elementary School.
Kededua mereka menyertai kelab audio-visual di sekolah tinggi itu dan meluangkan waktu lapangnya dengan bermain permainan video di studio stesen televisyen sekolah berkenaan.
Beliau berkata Lanza "didorong kuat" untuk berjaya dalam bidang akademik oleh ibu bapanya, terutamanya oleh ibunya.
"Dia (ibunya) benar-benar mendorongnya (Lanza) dengan kuat untuk lebih pintar dan bekerja keras di sekolah," kata Armone lagi.
Cik Nancy dan suaminya, Encik Peter Lanza, bercerai pada 2008, menurut rekod awam.
Bagaimanapun, Encik Peter Lanza tidak dapat dihubungi untuk mengulas.
Encik Dan Holmes, pemilik sebuah firma landskap, menyifatkan Cik Nancy sebagai seorang yang amat gemar mengumpulkan senjata api dan pernah menunjukkan beliau sepucuk "senapang bermutu tinggi" yang dibelinya.
Sementara itu, pihak polis belum lagi mengesahkan secara rasmi senajata yang digunakan dalam kes pembunuhan di Sandy Hook Elementary School itu. - Reuters.
No comments:
Post a Comment