Pages

Monday, December 17, 2012

20 kanak-kanak antara 26 ditembak mati


 Newtown, Connecticut,
NEWTOWN (Connecticut): Ratusan orang menghadiri satu perhimpunan besar di sebuah gereja di Newtown, Connecticut, semalam untuk memperingati mangsa-mangsa pembunuhan beramai-ramai di sebuah sekolah rendah di sana, yang membunuh sekurang-kurangnya 26 orang.
Para pemimpin dunia terkejut dan tergamam terhadap insiden penembakan di Sandy Hook Elementary School di bandar Newtown dalam wilayah Connecticut itu yang dianggap sebagai salah satu daripada kejadian menembak paling teruk dalam sejarah Amerika Syarikat.
Para penyokong pergerakan yang mahu mengawal senjata api pula berhimpun di luar Rumah Putih, semalam. Sambil memegang lilin, mereka meminta Presiden Barack Obama supaya bertindak tegas menyusuli peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu.
Para penduduk di sebuah bandar indah di Connecticut itu semalam terkejut dengan kejadian pembunuhan 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa di sekolah tersebut.

Lelaki yang lengkap bersenjata itu telah menembak mati 18 kanak-kanak dalam bangunan Sandy Hook Elementary School, kata jurucakap Polis Wilayah Connecticut, Leftenan Paul Vance.
Dua lagi meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialami mereka, tambahnya.
Enam orang dewasa turut terbunuh sebelum lelaki bersenjata yang memakai pakaian hitam ala tentera lengkap dengan rompi - menurut laporan-laporan media - itu turut maut, sama ada kerana membunuh diri atau ditembak oleh polis.
Pihak media Amerika berkata pengetua sekolah itu adalah antara mereka yang terbunuh.
Pihak berkuasa, bagaimanapun, tidak memberi sebarang gambaran mengenai motif pembunuhan di Newtown itu, sebuah bandar kecil di sebelah timur laut New York.
Polis juga belum lagi secara rasmi mengumumkan nama-nama mangsa pembunuhan itu. Bagaimanapun, kaum keluarga mereka telah diberitahu. Ia satu proses, sebagaimana yang diberitahu oleh Leftenan Vance kepada stesen televisyen FoxNews, sebagai "amat menyedihkan" bagi semua pihak yang terlibat.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, menulis kepada Gabenor Connecticut, Encik Dan Malloy, untuk menyampaikan "takziah amat mendalam terhadap pembunuhan yang mengejutkan itu", kata satu kenyataan badan dunia itu.
"Menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran adalah amat kejam dan tidak dapat difikirkan," tambah beliau sambil mengutuk jenayah tersebut.
Ketua diplomasi Kesatuan Eropah (EU), Cik Catherine Ashton, pula meluahkan rasa "terkejut" terhadap "kejadian menembak yang tragik" itu.
Sementara itu, sekitar 50 pembantah berhimpun di hadapan bangunan Rumah Putih sambil memegang sepanduk dengan tulisan, "Lindungi Anak Kita - Haramkan Senjata Sekarang" dan "Tuan Presiden, Kami sedang mendoakan tindakan mu".
Salah seorang penyokong gerakan kawalan senjata api, Reverend Michael McBride, menggesa Encik Obama supaya melaksanakan undang-undang mengawal senjata api sebagai perjuangan beliau apabila beliau memulakan tempoh jawatan presidennya yang kedua bulan depan. - AFP.

No comments:

Posting Terkini