Pages

Friday, November 2, 2012

Ratusan ribu masih belum dapat bekalan tenaga setelah ribut Sandy


 ribut Sandy
DAPATKAN BEKALAN MINYAK: Orang ramai beratur dengan membawa bekas di sebuah stesen minyak di Hess, Sayreville, New Jersey, kelmarin. Kebanyakan stesen minyak di Middlesex, Monmouth, daerah Ocean, dan tempat lain di New Jersey ditutup dan kehabisan bekalan minyak setelah banyak kawasan terputus bekalan elektrik akibat ribut Sandy. - Foto AFP

NEW YORK: Penduduk di kawasan pantai timur Amerika Syarikat semalam perlahan-lahan melakukan semula kegiatan harian mereka sedang pasukan mencari dan menyelamat meneruskan usaha mencari mangsa.
Beratus ribu penduduk pula masih ketiadaan bekalan elektrik setelah ribut Sandy meragut lebih 70 jiwa.
Tiga lapangan terbang utama New York dijangka dibuka semula tetapi mengendalikan jumlah penerbangan yang terhad.
Sistem kereta api bawah tanah wilayah itu, yang mengalami kerosakan paling teruk dalam sejarahnya selama 108 tahun, juga dijangka memulakan semula sebahagian perkhidmatannya sementara Bursa Saham New York juga kembali bernyawa kelmarin.

Presiden Amerika, Encik Barack Obama, tiba di New Jersey, kawasan yang paling teruk terjejas oleh ribut Sandy kelmarin.
Beliau mengadakan lawatan dengan menaiki helikopter bersama Gabenor New Jersey, Encik Chris Christie.
"Kami akan berada di sini bagi jangka masa yang lama," kata Encik Obama kepada penduduk yang berteduh di pusat perlindungan kecemasan.
Buat pertama kali sejak ribut Sandy melanda kawasan timur laut Amerika yang ramai penduduk dan menyebabkan kerosakan berjumlah berbilion dolar Amerika, matahari mula bersinar di bandar New York buat seketika.
Di bursa saham, yang menggunakan jentera jana kuasa bagi mendapatkan bekalan elektrik, Datuk Bandar New York, Encik Michael Bloomberg, memberikan tanda jempol sebelum membunyikan loceng sebagai menandakan bermulanya sesi dagangan dengan disahut sorakan para pedagang saham.
Perdagangan bermula semula setelah ditutup selama dua hari akibat cuaca buruk. Ia merupakan kali pertama sejak 1888 bursa saham itu terpaksa ditutup akibat cuaca buruk.
Jelas sekali memulihkan semula wilayah itu kepada gaya hidup yang bergerak pantas akan memakan masa beberapa hari dan proses pembangunan semula serta menyambung perkhidmatan pengangkutan di kawasan yang paling teruk terjejas akan mengambil masa lebih lama.
Terdapat juga tanda-tanda kesan ekonomi dek ribut itu.
Firma ramalan IHS Global Insight meramalkan ribut itu menyebabkan kerosakan bernilai AS$20 bilion ($24.4 bilion) dan kerugian antara AS$10 bilion hingga AS$30 bilion bagi perniagaan.
Sebuah lagi firma, AIR Worldwide, meramalkan kerugian sehingga AS$15 bilion.
Sehingga enam juta rumah dan perniagaan, kebanyakannya di New York dan New Jersey, tiada bekalan elektrik. Bekalan elektrik juga terputus sejauh Wisconsin di barat, serta Carolina Utara dan Carolina Selatan, di selatan Amerika. - AP.

2 comments:

dns said...

Hanya taufan saja boleh lumpuhkan amerika........allah huakhbar

dns said...

Hanya taufan saja boleh lumpuhkan amerika........allah huakhbar

Posting Terkini