Pages

Tuesday, November 6, 2012

DAP akui saingan sengit di Selangor dalam PRU kelak


saya sokong pakatan rakyat
KUALA LUMPUR: Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) menjangka saingan sengit di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, dan mengakui "kempen perkauman" yang dilaksana pembangkang di negeri itu, Barisan Nasional (BN), mendapat tarikan masyarakat Melayu di luar bandar.
Sentimen itu ditunjukkan ketika Konvensyen DAP Selangor kelmarin.
Berbeza daripada kebiasaannya tema mengkritik BN dalam setiap majlis Pakatan Rakyat (PR), suasana di Kompleks Sukan Kelana Jaya dilihat lebih menjurus kepada pemimpin DAP menyeru ahlinya bersedia menghadapi pertempuran politik paling sengit dalam sejarah Malaysia.
Ditemui selepas konvensyen itu, pengerusi DAP Selangor, Cik Teresa Kok, dan timbalan beliau, Encik Tony Pua, berkata ujian terbesar PR, yang turut dianggotai DAP, ialah menawan kawasan pedalaman yang majoriti penduduknya orang Melayu dan 'deposit tetap' undi bagi Umno.

"Kebanyakan orang mahu kami kembali memerintah Selangor. Namun, jika Umno sering memainkan sentimen keagamaan, dan perkauman, ia akan merosakkan peluang kami menang," kata Cik Kok.
Ketika pilihan raya 2008, Selangor, negeri terkaya di Malaysia, jatuh ke tangan pembangkang.
Bagi PR, harapannya kini tertumpu pada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mempunyai trek rekod bersih, untuk meyakinkan pengundi bahawa pentadbiran mereka bebas rasuah.
"Yang paling jelas (apa yang kami lakukan) ialah bebas rasuah di kalangan pegawai tinggi. Kerajaan kami tidak rasuah. MB kami bebas rasuah," kata Encik Pua, lagi yang ditukil laman berita The Malaysian Insider.
Cik Kok pula menambah: "Bagi pengundi bandar, kumpulan bukan Melayu, mereka percaya apa yang kami katakan. Mereka melihat Pulau Pinang, prestasi kami di sana. Melayu juga melihat kami tidak pernah menghampakan mereka, tidak meminggirkan Islam. Mungkin kami bukan kerajaan terbaik, tetapi kami mempunyai keazaman memberi perkhidmatan terbaik semasa masih menjadi kerajaan."
Bagaimanapun, itu sahaja tidak mencukupi bagi mendapatkan undi Melayu. Terdapat dua cabaran utama untuk PR mendapat undi kawasan pedalaman.
Pertama, dengan menyampaikan mesej perubahan yang dibawa kerajaan PR, seperti lebih telus dan polisi lebih baik.
Selain itu, PR perlu menangani "politik 3R" - kaum, agama dan royalti (race, religion dan raja) - yang digunakan BN, yang menurut Cik Kok sangat berkesan di kawasan pedalaman.
"Kami perlu lebih kerap turun padang, anjurkan lebih banyak program," kata beliau.
Sementara itu, dalam ucaptama konvensyen kelmarin, setiausaha agung DAP, Encik Lim Guan Eng, mengakui Selangor antara kawasan "selamat" kedua bagi PR selepas Kelantan.
Beliau percaya retorik perkauman BN akan lebih menurun di dua negeri, seperti Pulau Pinang dan Kedah.

No comments:

Posting Terkini