Pages

Friday, September 7, 2012

Gempa landa Costa Rica


 Gempa landa Costa Rica
TINJAU KEADAAN: Menteri Keselamatan Awam Costa Rica, Encik Mario Zamora, meninjau runtuhan Gereja Katolik Bellavista setelah gempa dengan kekuatan 7.6 melanda negara itu.- Foto REUTERS

SAN JOSE: Gempa bumi sekuat 7.6 pada skala magnitud moment (MMS) melanda kawasan pantai Pasifik Costa Rica kelmarin, membunuh sekurang-kurangnya seorang mangsa, memutuskan bekalan elektrik dan talian telefon buat seketika dan menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan, kata pihak berkuasa.
Pokok tumbang, bumbung rumah rosak dan jalan raya yang dekat dengan pusat gempa di wilayah Guanacaste, terbelah akibat gempa.
Menurut pihak berkuasa, sekitar 20 orang cedera dalam kejadian gempa itu.
Hampir 12 jam setelah gempa berlaku, beberapa bandar masih tiada bekalan elektrik dan air.

Presiden Costa Rica, Cik Laura Chinchilla, berkata:
"Perkara paling penting ialah kekal tenang, tiada kerosakan besar."
Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada mulanya menyatakan gempa yang melanda pantai Pasifik Costa Rica berukuran 7.9 MMS tetapi kemudian menyemak kekuatan dan lokasi gempa dalam kenyataan selanjutnya.
Dalam kenyataan terbarunya, USGS menyatakan gempa berukuran 7.6 dan melanda pada kedalaman 40 kilometer.
Peta USGS menunjukkan gempa berpusat dekat pantai Pasifik, di wilayah Guanacaste, kawasan pelancong yang popular.
Amaran tsunami dikeluarkan bagi negara Costa Rica, Panama dan Nicaragua tetapi kemudian dibatalkan, kata Pusat Amaran Tsunami Amerika Pasifik.
Pada mulanya, amaran itu turut diluaskan ke kawasan dari Mexico ke Peru.
"Kami rasakan gegaran yang kuat dan berlari, khuatir rumah akan runtuh," kata seorang penduduk kawasan Nicoya kepada sebuah stesen radio tempatan.
Gempa begitu kuat sehingga kawasan semenanjung ternaik sehingga hampir satu meter, kata Encik Marino Protti dari Ovsicori, sebuah balai cerap geologi pemerintah.
Katanya, pada hari-hari mendatang gegaran susulan sekuat 7 dapat dijangkakan.
Negara itu sudah biasa dengan kegiatan gempa tetapi penduduk kawasan itu masih terkejut dengan kekuatan yang berlaku kali ini.
Di ibu kota Costa Rica, San Jose, beberapa bangunan dan sekolah dikosongkan.
Banyak kawasan di ibu kota itu juga terputus bekalan elektrik dan khidmat telefon bombit terganggu buat sementara waktu.
Beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di lebuh raya yang menghubungkan ibu kota itu dengan kawasan pantai Pasifik tetapi ia hanyalah kejadian tanah runtuh kecil dan tidak menyekat pergerakan kenderaan.
Gegaran akibat gempa itu turut dirasakan di negara jiran, Nicaragua, Panama dan El Salvador. - AFP.

No comments:

Posting Terkini