Pages

Friday, August 17, 2012

Yudhoyono akui masalah rasuah kian meningkat


JAKARTA: Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, semalam berkata bahawa masalah rasuah sedang meningkat di negara itu.
Dalam kenyataan paling jelas pernah dibuatnya mengenai masalah yang menurut beliau boleh menjejas pertumbuhan ekonomi terbesar Asia Tenggara itu, Dr Yudhoyono berkata masalah rasuah turut berlaku di parlimen negara itu.
Rasuah rata-rata dilihat sebagai masalah yang menjejas ekonomi negara itu dan Dr Yudhoyono telah dikritik kerana membiarkan usaha memerangi rasuah diperlahankan sedang beliau menghampiri penghujung penggal keduanya sebagai pemimpin Indonesia.
Beberapa skandal rasuah telah menggegarkan Parti Demokrat pimpinan Dr Yudhoyono dan melemahkan parti itu sebelum pilihan raya 2014, tempoh Dr Yudhoyono akan berundur.

"Gendang perang terhadap rasuah tidak harus berhenti. Rasuah harus dibanteras sepenuhnya," katanya dalam ucapan di parlimen, semalam, sehari sebelum negara itu menyambut Hari Kemerdekaan hari ini.
"Saya akui masih ramai yang melakukan rasuah, malah dalam pemerintah, parlimen, wakil daerah dan di kalangan penguatkuasa undang-undang," kata Dr Yudhoyono.
Tambahnya, kerjasama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK), Mahkamah Tinggi, polis dan pejabat Peguam Negara, amat penting dalam membanteras rasuah.
Kata Dr Yudhoyono lagi, pemerintah harus menyediakan sekitaran undang-undang yang selamat bagi para pelabur jika ia ingin meningkatkan pertumbuhan ekonomi selain memastikan tiada halangan bagi pelaburan dan mempromosikan pertumbuhan prasarana.
Walaupun menghadapi masalah rasuah yang berleluasa, negara yang kaya dengan sumber asli itu kini menjadi negara pilihan pelabur kerana pasaran domestiknya yang besar dengan jumlah penduduk keempat terbesar di dunia, golongan pertengahan yang semakin bertambah, rangka kerja fiskal yang stabil serta paras hutang awam yang rendah.
Namun begitu, Encik Donal Fariz, daripada badan Pemantau Rasuah Indonesia, melahirkan rasa ragu bahawa ucapan Dr Yudhoyono menandakan sebarang usaha menguatkan tekad membanteras rasuah.
"Ucapan ini biasa kerana jika anda katakan perkara sedemikian anda harus tunjukkan bukti kukuh.
"Presiden menyebut tentang usaha luar biasa bagi menangani rasuah tetapi ia tidak dilaksanakan di peringkat akar umbi," katanya. - Reuters.

Popular Posts

No comments:

Posting Terkini