KUALA LUMPUR 8 Ogos: Prosedur Operasi Standard (SOP) polis terhadap petugas media amat penting bagi mengelakkan mereka dikasari polis ketika menjalankan tugas.
Oleh itu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyambut baik keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyediakan SOP bagi berhadapan dengan petugas media yang membuat liputan sesuatu perhimpunan.
“Dengan adanya SOP ini, boleh mengurangkan peristiwa yang tidak diingini seperti yang berlaku di perhimpunan sebelum ini,” kata Presidennya, Chin Sung Chew.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memaklumkan SOP itu bakal diumum sebulan daripada sekarang dan akan dirangka dengan mengambil kira pandangan dan cadangan petugas media yang pernah membuat liputan di perhimpunan seperti Bersih 3.0 pada 28 April lalu.
Sehubungan itu, PDRM akan memanggil wakil media untuk duduk berbincang mengenai SOP itu dan mahu mana-mana petugas media yang dicederakan tampil memberikan pandangan mereka.
Mengulasnya, Chin berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat NUJ pada Jumaat ini.
“Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat NUJ Jumaat ini dan mungkin kita akan berhubung dengan polis lebih awal untuk menyatakan kesediaan menghantar wakil untuk berbincang,” katanya dipetik Harakah Daily.
Sebelum ini, Panel Siasatan Bebas mengenai perhimpunan Bersih 3.0 mendapati, tiadanya SOP di kalangan pasukan polis menjadi punca berlakunya insiden wartawan dan jurugambar mendapat kecederaan.
Pada himpunan itu, dua wartawan dimasukkan ke hospital akibat dipukul polis manakala beberapa wartawan dan jurugambar dikasari termasuk kad memori kamera mereka dirampas dan dilarang mengambil gambar. - keadilandaily
No comments:
Post a Comment