Pages

Saturday, August 11, 2012

Pilihan raya umum mungkin tahun depan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin merancang mengadakan pilihan raya umum Malaysia selewat tahun depan kerana beliau belum memuktamadkan senarai calon Barisan Nasional (BN) dan masih menangani penjawat kini yang enggan memberi laluan kepada bakat baru, kata sumber-sumber kepada sebuah laman berita setempat.
Sejak minggu lalu, Datuk Seri Najib, yang juga presiden Umno dan pengerusi BN, bertemu para pegawai parti itu pada majlis-majlis iftar di seluruh negara, termasuk malam kelmarin di Terengganu, dan memberi taklimat kepada mereka mengenai persiapan pilihan raya.
Datuk Seri Najib berkata beliau yakin memenangi dua pertiga majoriti dalam parlimen jika pilihan raya itu diadakan, lapor laman berita The Malaysian Insider (TMI) semalam.
"Isunya kini ialah senarai calon. Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedang cuba menyelesaikannya. Pilihan raya tidak akan diadakan sehingga itu," kata seorang pegawai Umno yang menghadiri salah satu majlis iftar tersebut.

Satu laporan TMI sebelum ini berkata rancangan membubarkan parlimen bulan ini dibatalkan selepas dua ahli parlimen Sabah meletak jawatan dalam BN dan menyuarakan sokongan kepada pembangkang, Pakatan Rakyat (PR).
Datuk Seri Najib akan melawat Sabah hari ini dan mengumumkan syaratsyarat bagi satu suruhanjaya diraja berhubung siasatan ke atas bertambahnya jumlah pendatang tanpa izin, satu isu sensitif bagi negeri itu.
Beliau mempunyai masa sehingga April depan bagi mengadakan pilihan raya umum ke-13 Malaysia.
Dalam pilihan raya umum pada Mac 2008, BN kehilangan pentadbiran empat negeri kepada PR dan penguasaan dua pertiga majoriti dalam parlimen persekutuan yang terdiri daripada 222 kerusi.
"Terdapat sejumlah ahli parlimen veteran yang berfikir mereka masih boleh menang, tetapi Najib telah memberitahu mereka bahawa hanya calon berpotensi menang yang akan dipilih. Ada yang tidak dapat terima ini. Jadi ia akan mengambil masa," kata pegawai Umno itu.
Seorang lagi 'hulubalang' Umno berkata Datuk Seri Najib, yang juga Menteri Kewangan, telah memberi bayangan akan menghadiahkan lebih banyak wang tunai kepada rakyat di bawah skim Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dalam masa terdekat.
Sekitar 5.3 juta pemilik rumah meraih manfaat daripada program itu awal tahun ini apabila mereka diberi RM500 seorang bagi mengurangkan beban kos kehidupan.
"Najib sedang melihat ke arah satu lagi (pemberian) selepas (pengumuman) belanjawan dan mungkin satu lagi sekitar Tahun Baru Cina tahun depan," kata beliau.
Malaysia dijangka mengumumkan belanjawan tahun depan pada 28 September ini.
Datuk Seri Najib difahamkan telah meluahkan keyakinannya langkah Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin, dan Tuaran, Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing, menyokong PR tidak akan menjejas peluang BN di Sabah.
Bagaimanapun, sesetengah pegawai Umno menegaskan jentera parti itu masih belum bergerak seperti biasa kerana ramai veteran parti belum bersedia digantikan oleh calon baru.

1 comment:

Anonymous said...

Adakah ini bermaksud dia ada masalah nak kosomgkan kerusi Presiden UMNO untuk digantikan dengan MY?

Jangan kalut nak gantikan ornag lain ajae. Kamu tu perlu pengganti gak wahai PM.

Posting Terkini