Pages

Sunday, July 1, 2012

Tiga angkasawan China kembali ke bumi

BANGGA: Angkasawan dari China, (dari kiri) Encik Liu Wang, Encik Jing Haipeng dan Cik Liu Yang, memberi tabik di depan kapsul kapal angkasa Shenzhou 9, selepas mendarat di wilayah pedalaman Mongolia, semalam.
- Foto REUTERS

BEIJING: Tiga angkasawan China semalam selamat kembali ke bumi selepas berjaya berlabuh semasa orbit.
Ia merupakan satu kejayaan dalam usaha negara itu membina stesen angkasa menjelang akhir dekad ini.
Kepulangan mereka itu, termasuk angkasawan wanita pertama China, di zon pendaratan berpasir di wilayah pedalaman Mongolia, telah disiarkan kepada penonton menerusi saluran televisyen setempat CCTV .

Ketibaan kapsul kapal angkasa Shenzhou-9 yang berlepas pada 16 Jun lalu, mencecah tanah sekitar 10 pagi (waktu tempatan).
Pasukan penyelamat dengan pantas mengelilingi dan membuka kapsul berkenaan yang kelihatan hangus di luar.
Ketiga-tiga angkasawan itu berada dalam keadaan fizikal yang baik, lapor agensi berita Xinhua.
Mereka perlu kekal dalam kapsul itu selama sekitar 60 minit selepas mendarat bagi penyesuaian fisiologi dan tingkah laku.
CCTV menunjukkan seorang pekerja perubatan berpakaian seragam putih masuk ke dalam kapsul itu dan bercakap dengan mereka.
"Kami telah kembali dan kami rasa sihat," ketiga-tiga angkasawan itu ditukil sebagai berkata.
Komander misi, Encik Jing Haipeng, merupakan yang pertama keluar daripada kapsul itu, diikuti oleh Encik Liu Wang dan Cik Liu Yang.
"Kami sangat bangga dengan China," kata Cik Liu ketika diwawancara.
Sementara itu, di Beijing, Perdana Menteri Wen Jiabao mengucapkan tahniah atas kejayaan mereka.
"Ini merupakan satu lagi sumbangan cemerlang rakyat China kepada usaha kemanusiaan meneroka dan memanfaatkan angkasa lepas."
China masih jauh ketinggalan berbanding program angkasa lepas Amerika Syarikat dan Russia.
Shenzhou 9 merupakan misi angkasa lepas keempat China sejak 2003, sedang Amerika mengurangkan belanjawan progam serupa itu dan hanya akan menguji roket baru membawa manusia ke angkasa lepas pada 2017.
Russia pula tidak lagi meletakkan program angkasa lepas sebagai keutamaan negara itu.
China berkata ia telah membelanjakan sekitar AS$6 bilion ($7.6 bilion) bagi program angkasa lepas sejak 1992. - AP, AFP, Reuter.

No comments:

Posting Terkini