Pages

Wednesday, February 15, 2012

Hormat dan terima pandangan wanita adalah sunah nabi



MENDAPATKAN pandangan dan saranan isteri dalam membuat sesuatu keputusan tidak salah dan malah merupakan satu daripada sunah nabi.

Nabi memperlihatkan contoh ini selepas perjanjian Hudaibiyah. Ketika Baginda saw menyeru kaum Muslimin yang mengerjakan umrah membatalkannya dengan menyembelih dan bertahallul, tiada yang menyahutnya.

Nabi kemudian masuk ke khemah menemui isterinya, Ummu Salamah ra, menceritakan apa berlaku. Atas saranan isterinya, Rasulullah saw keluar dari khemahnya lalu melakukan korban dan bertahallul.

Berbincang, menerima dan menghormati saranan isteri - satu perkara yang ganjil dan bukan merupakan amalan biasa bagi kaumnya ketika itu - telahpun menjadi satu amalan Baginda saw.
Maka dalam kehidupan harian, terutama dalam kehidupan berkeluarga, jelas tiada salah melibatkan isteri dan mendapatkan saranan dan pandangan mereka dalam membuat sesuatu keputusan. Malah, keputusan keluarga yang dibincang bersama secara mendalam akan membuahkan hasil yang lebih baik dan menggembirakan setiap pihak.Kisah itu hanya satu daripada banyak contoh amalan Rasulullah saw.

Apabila kita mengenang keperibadian mulia dan akhlak Rasulullah saw, secara tidak langsung kita sedang menghayati ajaran Al-Quran.

Sayidatina Aisyah, ketika ditanya menyatakan: 'Al-Quran itu adalah akhlaknya.' (Hadis riwayat Imam Muslim).

Ia memberi pengertian yang mendalam ikatan hidup insan yang paling dikasihi Allah dengan kitab panduan Ilahi iaitu Al-Quran. Ia menunjukkan bagaimana Al-Quran itu seharusnya diterjemahkan dalam kehidupan seorang Mukmin, iaitu dengan melihat kehidupan Rasulullah saw secara menyeluruh.

Baginda merupakan pelita dan kompas yang memberi petunjuk bagaimana ajaran Al-Quran itu seharusnya dilaksanakan di dalam kehidupan seorang Mukmin.

Allah menjelaskan: '... Dan kami turunkan kepadamu (Nabi Muhammad saw) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya.' (An-Nahl: 44)

Apabila manusia memisahkan pembacaannya terhadap Al-Quran daripada pemahamannya terhadap peribadi, perilaku dan pekerti Rasulullah saw, di situlah mulanya terbit pemahaman yang tersasar dan silap kerana mereka gagal melihat bagaimana Baginda menjalani kehidupannya daripada pelbagai sudut - pergaulan sesama manusia, urusan perniagaan, dasar kehidupan kemasyarakatan, kepimpinan dan lain lagi.

Lantas, timbul kumpulan atau individu yang mengaku perbuatannya berdasarkan Al-Quran sedangkan akhlak mereka bertentangan dengan ruh Al-Quran dan sunah Rasulullah saw.

Misalnya, ayat 'Lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita' (An-Nisaa: 34) digunakan oleh sebahagian kaum Muslimin bahawa mereka perlu ditaati dan mereka mempunyai kuasa mutlak mengawal wanita, sedangkan Rasulullah menghormati dan menerima pandangan mereka.

Hayati sunah Baginda, amalkan dengan kesedaran bahawa setiap sunah yang kita hidupkan sebenarnya menghidupkan cahaya kebaikan di dunia ini.

Dengan mengenali dan mencintai Nabi Muhammad saw, kita bakal menjadi orang-orang yang berperibadi indah dan dapat menyentuh hati insan di sekeliling kita.

No comments:

Posting Terkini