KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi dijangka dapat mencari kaedah terbaik bagi memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul, sekaligus menjamin kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan salah satu komitmen kerajaan untuk membetulkan masalah penyalahgunaan Bahasa Melayu, termasuk penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan-iklan di radio dan televisyen serta di papan-papan tanda yang semakin meluas.
"Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan pengerusikan mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ini pada 30 November ini.
"Dengan adanya mekanisme ini apa juga masalah dari segi pengunaan bahasa akan dapat dirumus dan dicari formula (penyelesaian). Kita memang bertungkus lumus untuk membetulkan apa yang tidak betul," katanya.
Wee menjawab soalan tambahan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat hari ini yang bertanya bila kerajaan akan benar-benar melaksanakan segala perundangan yang diwujudkan untuk menjamin penggunaan bahasa Melayu yang betul.
Mengulas lanjut, Wee berkata, kerajaan juga sedang menimbang untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 yang akan memberikan penguatkuasaan kepada badan itu dalam memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu serta menangani masalah bahasa rojak.
"Pindaan ini telahpun disyorkan tetapi belum dimuktamadkan oleh kabinet," katanya.
Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Ismail, Wee berkata, selain Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, terdapat pelbagai perundangan lain yang sedang dikuatkuasakan di negara ini yang menyentuh mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ini termasuk Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang merupakan undang-undang induk mengenai penggunaan bahasa, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Kod Kandungan Penyiaran, Garis Panduan Penapisan Filem 2010, Undang-Undang Kecil Iklan, Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan dan sebagainya.
"Selain itu kerajaan juga telah terbitkan buku pedoman penggunaan bahasa selain memberi kursus bahasa, melakukan pemantauan dan teguran dengan harapan rakyat dapat menggunakan bahasa Melayu dengan baik dalam kehidupan harian dan secara tidak langsung dapat mengawal penggunaan bahasa seperti bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan dan papan tanda," katanya.
Menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai penggunaan bahasa rojak oleh penyampai sukan yang disifatkan semakin "parah", Wee berkata, ia mungkin didorong oleh penggunaan ayat-ayat (jargon) tertentu dalam bidang sukan yang sudah biasa digunakan oleh pengulas terbabit.
Bagaimanapun beliau mengakui sudah sampai masanya perkara itu diatasi, khususnya dengan penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan kelak.
No comments:
Post a Comment