Pages

Monday, January 2, 2012

'Pengaruh Anwar lesap jika PR gagal kalahkan BN'



SINGAPURA: Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak lagi relevan dalam politik dan akan berkubur jika pembangkang gagal menakluk Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut penulis blog, Raja Petra Kamarudin, 61 tahun, dengan pembangkang yang dalam keadaan huru-hara akibat masalah dalaman dan ketidak upayaan Datuk Seri Anwar yang menghadapi tuduhan liwat, peluang Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menang mempertahankan Selangor, semakin tipis.

'Seperti lagu Elvis Presley, It's Now or Never. Tapi persoalannya, adakah ia akan berlaku sekarang?' katanya, yang dahulu adalah penyokong kuat Datuk Seri Anwar.

Menurut Raja Petra, ketua pembangkang itu bukan lagi satu pilihan bagi rakyat Malaysia bukan sahaja kerana isu moral malah kerana kegagalannya meningkatkan ekonomi Selangor yang diperintah PKR.

Open Group (Facebook) Kerajaan Rakyat di: di sini   

'Isunya bukan Anwar bersalah atau tidak atas tuduhan liwat itu. Isunya, adakah dia individu terbaik memerintah negara?' katanya, yang kini membuang diri ke Manchester, United Kingdom.

Tambahnya, jika seseorang itu tidak boleh menguruskan negara, dia tidak boleh memerintah.

'Begitu juga di Selangor, Anwar gagal. Apakah nasihat anda (Anwar)? Sepanjang tiga tahun menjadi penasihat ekonomi, anda keluar negara 60 kali. Bukankah anda sepatutnya berada dalam negeri mengurus keadaan?' katanya lagi.

Beliau turut mendakwa bahawa pihak pembangkang kini dalam huru-hara dan bergaduh sesama sendiri sedangkan Datuk Seri Anwar seolah-olah melarikan diri.

Raja Petra turut memberi amaran kepada penyokong pembangkang agar tidak menjadikan perjuangan mencari keadilan sebagai perjuangan bagi Datuk Seri Anwar.

'Malah ketika (Nelson) Mandela dipenjarakan 27 tahun, tiada kempen bagi membebaskannya.

'Walaupun ada Pertubuhan Membebaskan Mandela, ia adalah kempen bagi menamatkan dasar aparteid,' katanya.

Tambahnya, pembangkang menyokong Datuk Seri Anwar selagi mereka mempunyai harapan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

'Jika gagal, pembangkang terutama PAS dan DAP tidak lagi perlukan Anwar,' katanya.

Kata Raja Petra lagi, pengundi di atas pagar merangkumi 30 hingga 40 peratus dan kerajaan atau pembangkang perlu bekerja keras bagi mendapatkan sokongan mereka.

'Mereka boleh beralih arah kepada mana-mana pihak. Kini ramai menyokong pembangkang kerana keraguan itu. Tetapi ramai juga yang mula hilang kepercayaan,' kata-nya lagi. -- Mingguan Malaysia, Berita Minggu Malaysia.

No comments:

Posting Terkini