Pages

Sunday, January 22, 2012

Obama pertahan dasar AS tangani program nuklear Iran



NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, kelmarin, berkata sekatan yang dipimpin Amerika terhadap Iran telah menyebabkan ekonomi negara itu kucar-kacir.

Beliau berkata demikian sebagai mempertahankan dasarnya terhadap Teheran yang dikritik teruk oleh pihak Republikan.

Encik Obama sebelum ini berat memberikan respons terhadap kritikan calon-calon Republikan tentang usahanya menghalang program nuklear Iran, namun beliau menyentuh tentang isu itu semasa satu acara mengumpul dana di sini.

Menurut Encik Obama, beliau telah mengerahkan dunia dan membina peraturan sekatan yang belum pernah dilakukan terhadap Iran.

Katanya langkah itu diambil bagi menyatakan dengan jelas kepada Iran bahawa dunia tidak akan membiarkan senjata nuklear dalam tangan rejim Iran.


Tambahnya, pihaknya telah berjaya mendapatkan sokongan rakan anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seperti China dan Russia, yang sebelum ini tidak mungkin menyetujui langkah menambah sekatan seperti yang telah dipersetujui.

'Ia begitu berkesan sehingga Iran juga terpaksa mengakui bahawa ekonomi mereka kini kucar-kacir.

'Ketika saya mula-mula dipilih menjadi Presiden, Iran bersatu dan dunia berpecah-belah.

'Sekarang kita mempunyai masyarakat antarabangsa yang bersatu dan mengatakan kepada Iran, anda perlu ubah cara anda,' katanya.

Namun, Encik Obama mengakui bahawa Iran masih belum memutuskan untuk membuka program nuklearnya kepada pemeriksaan antarabangsa dengan cara yang dapat membantu ia tidak lagi disisihkan.

Para anggota Republikan telah mengecam keras pendekatan yang diambil Encik Obama bagi menangani Iran, dengan mengatakan bahawa pendekatannya menunjukkan kelemahan.

Malah, mereka berkata bahawa Encik Obama gagal menyediakan kemungkinan melakukan serangan tentera terhadap program nuklear Teheran.

'Jika kita mengundi semula Barack Obama, Iran akan mempunyai senjata nuklear. Jika anda mengundi Mitt Romney... mereka tidak akan mempunyai senjata nuklear,' kata mantan Gabenor Massachusetts dan calon Republikan yang disebut-sebut akan menang itu, November lalu.

Awal bulan ini, Encik Romney menyelar Encik Obama kerana lambat menyokong tunjuk perasaan bagi demokrasi di Iran pada 2009.

'Ketika lebih sejuta orang di jalan-jalan Teheran memekik untuk kebebasan, beliau berdiam,' kata Encik Romney.Pesaing Encik Romney, Encik Newt Gingrich, berkata rejim Iran akan digantikan dalam masa setahun, sementara Encik Rick Santorum menyamakan Encik Obama dengan mantan Presiden Jimmy Carter, yang melihat peluang menjadi Presiden bagi penggal kedua musnah kerana krisis tebusan Iran. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini