Pages

Thursday, December 29, 2011

Lebih ramai akan didakwa berkaitan kes rasuah Iskandar Malaysia


KUALA LUMPUR: Lebih ramai orang akan didakwa selepas seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru kelmarin atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.6 juta ($656,000) dalam skandal projek mega Iskandar Malaysia, lapor sebuah akhbar harian setempat.

Orang-orang itu termasuk seorang kenamaan bergelar 'Datuk' yang berpengaruh, beberapa pegawai kanan Iskandar Investment Berhad (IIB) dan individu yang disyaki berperanan sebagai orang tengah, lapor Utusan Malaysia semalam.

Kesemua individu berusia 40-an tahun yang dipercayai melakukan jenayah dalam skandal itu, yang disifatkan sebagai terancang, dijangka didakwa dalam masa terdekat setelah selesai usaha mengumpul bukti dan mengambil keterangan.

Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Jamidan Abdullah, berkata pihaknya telah juga membekukan aset, seperti hartanah, bernilai RM5 juta milik individu-individu berkenaan bagi membantu siasatan.


'Kita telah membekukan aset-aset mereka yang terlibat dan menunggu masa untuk merampasnya,' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.

Di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kelmarin, seorang pengarah sebuah syarikat swasta, Mohd Amin Suhaimi, 52 tahun, membuat pengakuan tidak bersalah atas tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM1.6 juta tahun lalu.

Mohd Amin, suami bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) IIB, Cik Arlida Ariff, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Utusan Malaysia dalam laporan eksklusifnya kelmarin mendedahkan sebuah syarikat pemaju yang terlibat dalam projek mega membangunkan Iskandar Malaysia disiasat SPRM berhubung dakwaan wujudnya unsur rasuah dalam projek bernilai bilion ringgit itu.

Siasatan terhadap syarikat tersebut dibuat kerana dipercayai berlaku unsur penyelewengan dalam perolehan kontrak dan beberapa projek yang dipertanggungjawabkan kepada syarikat berkenaan.

Syarikat yang disiasat itu bertanggungjawab membangunkan pelbagai projek besar dalam Iskandar Malaysia, antaranya pembinaan infrastruktur, pusat pendidikan, kawasan perumahan, jalan, lebuh raya serta pusat riadah yang bernilai ratusan bilion ringgit.

Iskandar Malaysia, yang fasa pembangunannya akan berjalan sehingga 2025, bakal menjadi sebuah pusat pertumbuhan terbesar di rantau ini dengan keluasan dua setengah kali ganda Singapura.

Berkaitan:









No comments:

Posting Terkini