Pages

Wednesday, November 23, 2011

Pelarian Perang Vietnam bertemu anak selepas 34 tahun berpisah


ROCHESTER (New York): Seorang pelarian Perang Vietnam yang terselamat daripada serangan lanun pada 1977 yang memisahkan beliau dan isteri serta anak lelakinya yang masih bayi, bertemu semula kelmarin, selepas 34 tahun terpisah.

Encik Hao Truong tercampak ke Laut China Selatan selepas bot yang dinaikinya dan keluarga menuju Thailand pada Disember 1977 diserang lanun.

Encik Hao berkata beliau terapung selama 16 jam sebelum diselamatkan oleh bot menangkap ikan.

Seminggu selepas berada di kem pelarian di Thailand, Encik Hao mendapat berita bahawa isterinya meninggal dunia dan mayatnya terlantar di pantai bersama-sama dengan mayat wanita lain.

Bagaimanapun, nalurinya mengatakan anaknya, Encik Kham, yang semasa itu berusia tujuh bulan terselamat dan dibesarkan oleh orang lain.


Encik Hao kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat pada 1978 dengan dibantu oleh bapa saudaranya yang menetap di Louisiana.

Encik Hao mula mencari Encik Kham dengan bantuan seorang pekerja sosial pada Jun lalu, selepas mendapat berita bahawa anaknya mungkin masih hidup dan kini dikenali sebagai Samart Khumkhaw, yang menetap di wilayah Surat Thani, Thailand.

Encik Kham yang telah berusia 34 tahun juga merupakan bapa dua orang anak.

'Pada saat ini saya sangat teruja dan gembira,' kata Encik Hao yang berdiri di sebelah anaknya di Lapangan Terbang Rochester sambil ditemani oleh saudara-maranya yang melambaikan bendera kecil Amerika dan belon tertera perkataan 'Selamat Kembali'.

Senator Amerika, Encik Charles Schumer, membantu Encik Hao mendapatkan visa lawatan bagi Encik Kham, yang menyara hidup sebagai seorang tukang kayu, datang ke Amerika berseorangan bagi berjumpa dengan keluarga bapanya.

Lebih daripada tiga juta orang meninggalkan Vietnam semasa negara itu di bawah pemerintahan komunis, termasuk juga negara jiran seperti Laos dan Kemboja selepas Perang Vietnam tamat pada 1975.

Mereka belayar dalam bot yang kecil dan terdedah kepada bahaya bot karam atau diserang oleh lanun. -- AP.

No comments:

Posting Terkini