Pages

Wednesday, November 23, 2011

Johor, Melaka dan Terengganu mula dilanda banjir



MUJUR ADA SAMPAN: Kanak-kanak ini menaiki sampanselepas rumah mereka ditenggelami air di Kampung Merbau Menyusut, Setiu, kelmarin. -- Foto BHM


KUALA LUMPUR: Tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Terengganu mula dilanda banjir sejak awal pagi kelmarin, dan keseluruhannya seramai 545 mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara , Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, berkata bahawa tujuh pusat pemindahan banjir mula beroperasi kelmarin di tiga negeri terbabit.

Jumlah itu dijangka bertambah berikutan fenomena hujan luar biasa yang dijangka berlarutan sehingga hujung bulan ini.


Di Melaka, daerah yang terjejas ialah Jasin, dengan tiga kampung mula dinaiki air kelmarin iaitu Kampung Parit Lampung dan Kampung Tanjung Laboh selain Kampung Parit Penghulu Benteng.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di Terengganu meningkat kepada 313 orang tengah hari semalam berbanding 47 orang pada sebelah pagi.

Daripada jumlah itu, Setiu mencatat peningkatan sebanyak 115 daripada 30 keluarga; Besut, 115 daripada 25 keluarga dan Hulu Terengganu mencatat 83 orang daripada 15 keluarga.

Di Besut, beberapa jalan iaitu Jalan Jerteh ke Keruak, Kampung La, Kampung Bekok dan Gertak Jerebong ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air 0.5 meter hingga 2 meter.

Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) melaporkan tiga sungai mencatatkan paras air melebihi paras bahaya iaitu di Sungai Nerus di Kampung Langkap mencecah 22.01 meter (paras bahaya 21.5 meter) dan Kampung Bukit di Setiu 13.19 meter (paras bahaya 12.10 meter) serta Sungai Telemong di Kuala Ping berada di tahap amaran 19.63 meter.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi kelmarin mengeluarkan amaran hujan lebat dijangka melanda beberapa kawasan di beberapa kawasan di Semenanjung, terutama pantai Timur, yang dikhuatiri mengakibatkan banjir di kawasan rendah. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini