Pages

Wednesday, November 23, 2011

Hanya BN benarkan kos lapangan terbang naik, tanah kerajaan dijual murah


KUALA LUMPUR, 23 Nov – Mengapa kos pembinaan lapangan terbang harga murah KLIA2 melonjak lebih sekali ganda daripada harga asal dan kenapa sebidang tanah kerajaan yang dijual kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Sungai Besi jauh lebih murah dari harga pasaran?

Setiausaha Publisti DAP Tony Pua mahu kerajaan persekutuan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha menjelaskan secara terperinci mengenai skandal-skandal yang membabitkan wang rakyat itu.
Dalam isu KLIA2, beliau berkata, peningkatan kos pembinaan lapangan terbang itu  akan menjejaskan sektor pelancongan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Kalau kerajaan kata cukai lapangan terbang tidak naik, ini bermakna kerajaan perlu memberi tambahan subsidi kepada MAB (Malaysia Airports Berhad).  Bagaimana pun ini bermakna yang akan kena bayar ialah pembayar cukai, iaitu kita rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat di sini hari ini.


Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata demikian merujuk kepada laporan muka hadapan The Edge Financial Daily semalam yang menyebut kos lapangan terbang murah KLIA2 telah melonjak naik sehingga RM4 bilion atau lebih seganda dari harga asalnya.

“Menteri Pengangkutan dari MCA sentiasa mempunyai rekod dalam isu peningkatan kos pembinaan.

“Kita masih ingat bagaimana, di bawah kawalan Menteri dari MCA,  kos Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) naik dari RM1 bilion kepada RM12 bilion.

“Kita juga masih ingat bagaimana landasan keretapi dari Rawang ke Ipoh meingkat lebih dari RM1 bilion. Kita ingat lagi pembelian keretapi oleh Menteri Pengangkutan yang tidak dapat digunakan oleh KTMB,” katanya.

Pua turut mengingatkan semua pihak tentang  campur tangan MAB yang telah menggagalkan pembinaan lapangan terbang harga murah di Labu, Negeri Sembilan yang sepatutnya dibina oleh Air Asia dan Sime Darby pad 2009.

“Jadi, kita boleh tengok dengan jelas dalam kes MAB, kerajaan perlu membiayai RM4 bilion. Jika Sime Darby membina lapangan terbang itu, ia tidak memerlukan satu sen pun dari kerajaan, iaitu tidak membazir langsung wang rakyat,” katanya.

Dalam isu penjualan 495 ekar tanah di tapak pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Sungai Besi yang dijual kepada 1MDB dengan harga murah dari sepatutnya, Pua menjelaskan harga tanah yang dijual itu hanya bernilai RM1.6 bilion atau RM74.20 sekaki.

“Itu adalah harga yang terlampau murah untuk tanah di Kuala Lumpur,” katanya, menambah bahawa baru-baru ini di Pulau Pinang di bawah kerajaan Pakatan yang cekap, akauntabel dan telus, sebidang telah dijual secara tender terbuka bernilai RM240 sekaki.

“Harga di Pulau Pinang itu tiga kali ganda lebih mahal dari yang dibeli di 1MDB itu sedangkan kita semua tahu harga tanah di sini lebih mahal dari Pulau Pinang,” katanya.

Oleh kerana itu, Pua mendesak kerajaan menjelaskan secara terperinci semua butir perjanjian dengan 1MDB. – Roketkini

No comments:

Posting Terkini