Pages

Thursday, October 13, 2011

PM gesa peniaga usah naikkan harga


BANTUAN SUDAH TIBA: Para penduduk berebut barangan bantuan dari sebuah helikopter di wilayah Ayutthaya, semalam. -- Foto REUTERS
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Yingluck Shinawatra, semalam memberi amaran kepada peniaga supaya usah mengambil kesempatan daripada banjir yang sedang berlaku di negara itu dengan menaikkan harga barangan mereka.

Ini selepas para penduduk Bangkok bergegas merebut barangan keperluan daripada rak-rak pasar raya kerana bimbang ibu kota Thailand itu akan ditenggelami banjir pada hari-hari mendatang.

Cik Yingluck, yang masih dianggap seorang ahli politik mentah selepas menjadi perdana menteri negara itu pada Ogos lalu, berkata beliau telah meminta Kementerian Perdagangannya memantau rapi harga barangan runcit.


'Saya meminta para pengendali perniagaan; sedang orang ramai menderita, saya meminta para pemilik perniagaan menjual (barangan mereka) pada harga kos.

'Menaikkan harga akan menghasilkan kegiatan menyorok, yang tidak akan membantu menyelesaikan masalah itu,' kata beliau kepada wartawan di pusat krisis banjir di lapangan terbang Don Muang, di Bangkok.

Sekitar 281 orang terbunuh akibat hujan lebat monsun, banjir dan tanah runtuh sejak lewat Julai lalu, manakala 26 daripada 77 wilayah di Thailand ditenggelami air, menurut sebuah jabatan pencegahan dan pengurangan kesan bencana negara itu.

Wilayah-wilayah di utara, timur laut dan tengah Thailand teruk terjejas oleh banjir.

Bangkok, yang hanya dua meter di atas paras laut, sedang menghadapi ancaman banjir akibat pengaliran air yang melimpah keluar dari kolam-kolam air di bahagian utara dan Sungai Chao Phraya.

'Suasana di Bangkok adalah 50-50. Saya dan emak saya cuba mendapatkan apa saja dan menyimpan makanan bagi sekurang-kurangnya dua minggu,' kata Encik Tassanapan Sirisuka, 32 tahun, kepada agensi berita Reuters ketika membeli-belah di sebuah pasar raya di kawasan tengah bandar Bangkok yang semakin berkurangan bekalan air botol dan mi segera.

Agensi berita Xinhua News pula semalam melaporkan, pemerintah China telah menawarkan barangan bantuan bencana bernilai 10 juta yuan ($2 juta), termasuk 64 bot penyelamat dan 60 set alat membersihkan air, yang dikirimkan dari Zhengzhou, semalam, menurut kenyataan di laman web kementerian itu.

Pusat Kajian Bank Tentera Thai pula meramalkan bahawa jika kejadian banjir sekarang berterusan sehingga akhir tahun ini, kadar inflasi di negara itu mungkin meningkat sebanyak 5.1 peratus, sementara harga makanan segar naik sebanyak 11.9 peratus, lapor pihak media setempat, semalam.

Ekoran daripada kesan banjir itu, Kementerian Kewangan Thailand telah menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi negara itu daripada 4 peratus kepada 3.7 peratus tahun ini. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini