Pages

Thursday, October 13, 2011

KDN lulus 27,293 permohonan warganegara


(Oleh: Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR: Sebanyak 27,293 permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia telah diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri dari tahun 2008 hingga Ogos 2011.
Demikian jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di dewan rakyat hari ini.
Namun, Kementerian Dalam Negeri tidak menyatakan jumlah kelulusan permohonan kewarganegaraan baru sejak 2008 mengikut kawasan Parlimen, seperti yang dituntut dalam soalan.
Jawapan berkenaan sangat mengejutkan ekoran Pakatan Rakyat sebelum ini menimbulkan isu pemberian kerakyatan kepada warga asing, termasuk warganegara Indonesia dan Bangladesh bagi tujuan mengundi Umno-Barisan Nasional.

Ia termasuk isu penduduk tetap (PR) yang mendaftar sebagai pengundi sebelum didedahkan mendapat taraf warganegara daripada Jabatan Imigresen, sepertimana kes yang berlaku terhadap seorang pengundi bernama Mismah.
Laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada September lalu pula menyiarkan laporan yang mendakwa pekerja Bangladesh di Malaysia diberi warganegara mudah dengan syarat mengundi parti pemerintah di Malaysia.
Bagaimanapun artikel kontroversi berkenaan dikeluarkan dari laman itu dalam tempoh 24 jam selepas disiarkan, manakala Pejabat Suruhanjaya Tinggi Bangladesh turut  menafikan dakwaan berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Jariah Mohd Said pula dalam satu kenyataan media berkata, hanya 37 rakyat Bangladesh yang diberikan kerakyatan Malaysia sejak 1998 sehingga Ogos tahun lalu.
Pada masa sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas portal Malaysiakini berhubung dua laporan berita mengenai pemberian kewarganegaraan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini