Pages

Friday, July 1, 2011

Tiada situasi menang buat Umno

Warta Kerajaan l Kim Quek : Ditengah-tengah kegilaan pihak berkuasa menggunakan undang-undang zalim untuk menyekat perhimpunan Bersih yang dijadualkan pada 9 Julai, ramai rakyat Malaysia terpinga-pinga – adakah Malaysia kini ‘tersesat’ dalam hutan rimba yang sudah tidak mengenal undang-undang.
Sebaik sahaja Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein memberi amaran bahawa memakai baju T Bersih berwarna kuning adalah haram di segi undang-undang, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar memburukkan lagi keadaan.

Beliau (Ismail) mengisytiharkan bahawa malahan “kasut, kereta, bas dan apa sahaja alat yang digunakan untuk mempromosi perhimpunan Bersih adalah haram, kerana ini boleh dianggap sebagai hasutan dan mereka yang terlibat akan ditahan.
Sehingga hari ini, lebih 100 orang telah ditangkap di seluruh negara dalam tempoh empat hari lalu, kebanyakannya kerana memakai baju T Bersih.
Bagi saya, ini seolah-olah seperti seseorang yang bercakap dan bertindak seolah-olah dia adalah seorang raja yang mempunyai kuasa mutlak, boleh menahan sesiapa yang tidak mengikut kehendaknya dan apa yang dicakapkannya menjadi undang-undang.
Namu tidak pula terdapat dalam undang-undang Malaysia yang membenarkan seseorang menteri dan seorang anggota polis boleh mengisytiharkan bahawa item-item ini seperti baju T Bersih adalah haram.
Tidak pula kita terdapat mana-mana bahagian dalam perundangan negara yang menyatakan seseorang itu boleh ditahan sebelum dia melakukan sesuatu jenayah atau disyaki melakukannya.
Perhimpunan Bersih belum pun dianjurkan lagi maka bagaimana jenayah boleh dianggap telah berlaku berhubung dengan perhimpunan Bersih ini?
Makanya, apakah yang menyebabkan Menteri Dalam Negeri dan KPN begitu terdesak untuk bertindak di luar batas undang-undang?
Adakah Bersih sebuah pertubuhan pengganas yang merancang untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara kekerasan? Adakah Bersih menghasut orang ramai supaya melanggar undang-undang dan mencetuskan kekacauan?
Apakah bencana buruk yang telah dilakukan oleh Bersih hingga menyebabkan pihak berkuasa bertindak sedemikian rupa, berlaku kejam pada setiap langkah, apa sahaja ‘berbau’ Bersih?
Bersih adalah sebuah badan awam disertai oleh 62 badan bukan kerajaan (NGO) yang berkempen untuk reformasi pilihan raya.

Kedegilan pihak berkuasa
Dan Himpunan Bersih pada 9 Julai nanti dirancang untuk menuntut bagi menangani masalah ini ekoran kedegilan pihak berkuasa untuk melakukan perubahan ke arah sistem pilihan raya yang bersih dan adil.
Meskipun desakan ini telah dibuat berulang kali sejak bertahun-tahun lamanya, namun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mahu berganjak walau satu inci ke arah melakukan formasi terhadap sistem pilihan raya; yang penuh dengan penipuan seperti membeli undi, salah guna kuasa dan pencemaran senarai nama pemilih.
Dengan mempunyai niat yang murni, berjuang untuk memulihkan demokrasi dan mengembalikan kuasa politik kepada rakyat, adalah tidak adil untuk melabel Bersih sebagai sebuah pertubuhan yang mahu mengkhianati negara ini.
Adalah jelas sekarang ini bahawa tanpa pilihan raya yang adil dan saksama, kuasa politik hanya berkisar kepada beberapa pemimpin sahaja, bukannya kepada rakyat.
Dan apabila sesebuah pertubuhan (Bersih) yang disegani ini ingin menyeru untuk berhimpun bagi mengetengahkan isu ini kepada para pemimpin negara, bagaimana mungkin perhimpunan ini dianggap sebagai taboo dan apa-apa yang berkaitan dengannya diwartakan sebagai haram?
Sehingga sekarang, hegemoni Umno dan polis masih tidak dapat memberi alasan yang kukuh kenapa perhimpunan Bersih ini dianggap haram sedangkan perhimpunan Bersih mahu diadakan secara aman sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila kita dapati pihak polis bertindak hanya mengikut arahan tuannya (Umno) bagi memenuhi kepentingan politik mereka yang sekaligus bertentangan dengan kehendak rakyat.
Alasan yang diberi oleh pihak berkuasa setakat ini untuk menghalalkan tindakan mereka terhadap tangkapan-tangkapan yang dilakukan dan untuk melabel perhimpunan itu haram adalah sesuatu yang melucukan dan tidak mempunyai kredibiliti langsung.
Tuduhan-tuduhan palsu seperti plot komunis untuk melancarkan perang terhadap Yang DiPertuan Agong, sebuah pergerakan yang dibantu oleh badan-badan Kristian asing untuk mengkhianati negara, satu acara yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara dan boleh menyebabkan kerosakan ekonomi.
Kisah-kisah ugutan dan bala bencana yang bakal menimpa yang direka-reka ini, sukar dipercayai oleh rakyat Malaysia tetapi inilah pembikinan rasional mereka yang bertujuan untuk menyekat perhimpunan ini.
Alasan-alasan yang diberi untuk bertindak terhadap perhimpunan Bersih adalah tidak munasabah.  Sesebuah negara demokrasi itu lebih mementingkan kepada pencapaian kesejahteraan ekonomi dan politik di mana perhimpunan seumpama ini merupakan sebahagian dari cara hidup dalam sistem demokrasi.
Lihat kepada jiran kita Hong Kong.  Perhimpunan-perhimpunan yang melibatkan ratusan ribu rakyatnya terhadap kerajaan China sentiasa diadakan dari semasa ke semasa.
Namun tidak nampak sekilas pun tanda-tanda bahawa ketenteraman awam tergugat atau perniagaan mereka terjejas. Sebaliknya Hong Kong terus stabil, maju dan makmur.
Maka apa yang sebenarnya dibimbangi Umno?
Pada hakikatnya, Umno tidak yakin dapat terus bernyawa sekiranya pilihan raya di adakan dengan adil dan saksama.
Sebab itu, Umno tidak berganjak walau satu inci pun ke arah pilihan raya yang lebih adil dan ia tidak mempunyai niat untuk melaksanakan keadilan dalam masa yang terdekat.
Umno juga menyedari bahawa ia telah banyak melakukan kesalahan dengan mengkhianati kepentingan rakyat dan semakin ramai yang sedar tentang perkara ini melalui media alternatif yang cepat berkembang.
Ini ditambah lagi dengan peningkatan keyakinan terhadap Pakatan Rakyat dan perhimpunan ini akan menjelma sebagai satu bentuk demokrasi yang bertenaga untuk menuntut kembali kekuasaan melalui reformasi pilihan raya.
Oleh itu, kita boleh meramalkan bahawa Umno akan terus menggunakan tekanan terhadap Bersih dengan menyalahgunakan institusi- institusi kerajaan seperti polis dan kehakiman, tanpa memperduli kepada undang-undang dan Perlembagaan, untuk menyekat pergerakan Bersih.
Bagaimanapun Umno tidak berada dalam situasi menang.  Untuk taat kepada Perlembagaan, Umno mesti membenarkan perhimpunan ini diteruskan di mana tidak mungkin Umno akan berbuat demikian apabila melihat perhimpunan ribuan manusia itu boleh melemah semangat mereka yang semakin pudar dan melihat sokongan terhadap mereka semakin mengecut.
Sebaliknya, penindasan yang dilakukan Umno dengan melanggar semua undang-undang boleh menyemarakkan lagi semangat rakyat untuk bangkit hingga membuat kita sukar untuk meramalkan apa yang bakal terjadi nanti.
Walaupun pihak pemerintah berjaya menyekat perhimpunan ini, perasaan lega Umno hanya bersifat sementara.  Kejadian buruk, kezaliman yang menjangkaui batas-batas undang-undang, pencabulan hak asasi manusia semuanya dengan mudah dapat ditonton oleh rakyat.
Melalui teknologi maklumat moden, rakyat dapat melihat dengan jelas apa yang berlaku di Dataran Tahrir, Mesir dan api yang menyemarakan semangat revolusi yang merebak di seluruh dunia Arab.
Apabila sokongan terhadap Umno dan BN semakin terhakis, pada ketika itu nanti, malahan institusi-institusi yang menjadi alat mereka tidak mampu lagi menyelamatkan mereka apabila mereka tewas dalam pilihan raya yang akan datang.
Saya yakin majoriti rakyat Malaysia sudah mencapai tahap kesedaran politik yang tinggi dan kesungguhan rakyat akan terserlah nanti pada 9 Julai.  Detik ini menjadi satu titik tolak yang penting dalam perjuangan kita untuk menuntut kembali kuasa rakyat dan demokrasi.

No comments:

Posting Terkini