Pages

Monday, July 25, 2011

Siasatan perhimpunan Bersih dijangka siap minggu ini

GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin siasatan berhubung perhimpunan haram 9 Julai lalu akan siap minggu ini, bagi membolehkan pendakwaan dilakukan segera.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata siasatan masih dijalankan terhadap pihak-pihak tertentu yang masih membuat kenyataan yang tidak benar tentang perhimpunan berkenaan.
“Kita masih siasat tentang isu-isu yang telah dimainkan oleh pihak-pihak tertentu kerana masih terdapat pihak-pihak yang membuat kenyataan dan menayangkan perkara yang tidak benar tentang perhimpunan tersebut.

“Namun saya yakin bahawa kami akan mampu selesaikan siasatan berhubung perhimpunan tersebut minggu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar ‘Technology in Crime and Loss Prevention: The New Era’ di sebuah hotel, di sini hari ini.
Ismail berkata beliau telah mengarahkan pegawai-pegawainya agar mempercepatkan siasatan dan mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.
Dalam perhimpunan itu, polis menahan kira-kira 1,500 orang termasuk penganjurnya Datuk S. Ambiga serta pemimpin Pakatan Rakyat.
Isu keselamatan
Terdahulu Ismail berkata pihaknya yakin dengan seminar sebegini, ia dapat memberi pendedahan kepada semua pihak terutama rakan niaga bahawa kerajaan Malaysia menitikberatkkan isu keselamatan.
“Apabila objektifnya dicapai, semua pihak dan PDRM dapat mempertingkatkan keselamatan secara tempatan dan global sekaligus menunjukkan ia dapat ditangani pada tahap yang tinggi.
Hadir sama pada seminar berkenaan termasuk, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi MCPF Pulau Pinang, Datuk Syed Jaafar Syed Ali.
Seminar dua hari yang dianjurkan bersama dengan Persatuan Wakil-Wakil Penghantaran Kargo Pulau Pinang (PFFA), Persatuan  Pengilang Zon Perdagangan Bebas Pulau Pinang (Frepenca) dan Universiti Sains Malaysia (USM), disertai lebih 150 peserta termasuk wakil industri, NGO dan agensi kerajaan.
Ia membincangkan pelbagai topik membabitkan pengalaman dan hala tuju menangani jenayah siber, ancaman jenayah siber di Malaysia, integriti dalam pengendalian kargo dan penipuan dalam bidang korporat serta menimbulkan sikap prihatin di kalangan masyarakat.
- Bernama



No comments:

Posting Terkini