Monday, July 4, 2011
Kesesakan lalu lintas di Jakarta sebabkan kerugian berbilion dolar setiap tahun
JAKARTA: Kesesakan lalu lintas di ibu kota Indonesia menyebabkan negara itu kerugian berbilion-bilion dolar setiap tahun. Ini mencerminkan jurang antara cita-cita pertumbuhan ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu dengan realiti harian yang berlaku di negara tersebut, kata para pengamat.
Jakarta berada di tangga paling bawah dalam satu tinjauan sejagat mengenai tahap kepuasan para penumpang di 23 bandar.
Tinjauan itu diterbitkan oleh sebuah firma kajian Frost & Sullivan pada bulan lalu.
Tinjauan Indeks Pengalaman Perjalanan terhadap hampir 15,000 orang di seluruh dunia mendapati para penumpang kenderaan di Jakarta adalah yang paling sengsara. Keadaan mereka lebih teruk berbanding dengan penduduk di Rio de Janeiro di Brazil dan Kahirah di Mesir, yang terkenal dengan kesesakan lalu lintasnya.
Para responden di Copenhagen, Denmark; Seattle, Amerika Syarikat; dan Sydney, Australia; pula adalah yang paling berpuas hati dengan pengalaman perjalanan harian mereka - berdasarkan pada kriteria kepesatan, kos dan keselesaan keseluruhan dalam perjalanan mereka yang menggunakan kenderaan.
Namun, Jakarta hanya meraih kurang setengah daripada mata yang diberikan kepada New Delhi, India.
Salah seorang pengguna kenderaan yang baru-baru ini mendapati betapa sengsara dan mahalnya terkandas dalam kesesakan lalu lintas di Jakarta ialah penyanyi Australia, Kylie Minouge. Beliau terpaksa menangguhkan konsertnya selama 30 minit kerana kakitangan pentas terlewat tiba.
Penyanyi terkenal itu, bagaimanapun, berjaya mengelakkan dirinya daripada kesesakan lalu lintas itu dengan menaiki helikopter ke lokasi konsertnya pada 27 Jun lalu.
'Kerugian ekonomi akibat masalah kesesakan lalu lintas di Jakarta dianggarkan sebanyak 28.1 trilion rupiah ($4 juta) setiap tahun, berdasarkan kajian yang saya buat pada 2007,' kata pakar kejuruteraan sekitaran daripada Universiti Indonesia, Dr Firdaus Ali, kepada agensi berita AFP.
Justeru, apa silapnya?
Para pegawai berkata mereka tidak mampu menangani pertumbuhan pesat di ibu kota Indonesia itu sejak tiga dekad lalu serta kemasukan jutaan pekerja setiap hari dari kawasan berdekatan bandar itu. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment