Pages

Saturday, July 23, 2011

Kerjasama DAP-PAS semakin kukuh

Hubungan akrab di antara DAP dan PAS, walau pun sesekali berdepan dengan masalah remeh, bukan sahaja berkembang di peringkat pimpinan tetapi juga semakin rapat di peringkat akar umbi.

Sejak mula bekerjasama secara serius bagi menghadapi pilihan raya umum 1999, dan kemudian menyusuri masalah perbezaan ideologi pada awal 2000-an, hubungan yang agak keruh telah dipulihkan kembali menjelang PRU 2008.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Liew Chin Tong berkata walau pun ramai yang berpendapat DAP dan PAS berbeza dari sudut ideologi, kedua-dua parti sebenarnya banyak persamaan dalam memperjuangkan hak-hak utama rakyat Malaysia.

“Jika Pakatan Rakyat diberi amanah untuk memegang kuasa, DAP-PAS selesa sama satu lain dan berkongsi pandangan berkenaan agenda ‘pendemokrasian’ (democratisation) seperti menghapuskan akta-akta zalim, memberi ruang bersuara lebih luas, reformasi Parlimen, reformasi polis, reformasi media dan lain-lain.


“DAP-PAS juga berkongsi agenda ekonomi yang sama, seperti konsep Negara Berkebajikan yang menumpukan dasar-dasar kerajaan untuk membantu 60 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan, yang mana kebanyakan mereka adalah orang Melayu” katanya kepada Roketkini.

Beliau menambah kerjasama DAP-PAS di peringkat akar umbi juga terserlah bukan sahaja melalui kempen-kempen PRU dan PRK tetapi juga apabila program-program diadakan di peringkat cawangan dan bahagian.

Liew yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera mengakui wujudnya perbezaan mengenai isu kebudayaan dan agama, tetapi beliau yakin bahawa pimpinan kedua-dua parti matang dan punya azam untuk memastikan isu tersebut diselesaikan dalam konteks permuafakatan Pakatan Rakyat.

Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib yang dipetik sebagai berkata kepada Utusan Malaysia bahawa: “PAS dan DAP bukan ‘satu hubungan yang kuat,’ maknanya belum jadi satu parti.”

Timbalan Presiden PAS Muhammad Sabu ketika dihubungi Roketkini menjelaskan bahawa kerjasama DAP-PAS sedang dalam proses untuk diperkukuhkan lagi demi perpaduan Pakatan Rakyat.

“Soal berbeza pandangan atau ideologi, itu perkara biasa dan memang setiap parti ada pendiriannya,” katanya.

Beliau menambah bahawa perbezaan kedua-dua parti bukan penghalang kerana kekuatan dalam Pakatan sentiasa kukuh dan setiap keputusan ditangani dan ditandatangani bersama.

Mohamad turut memberi contoh sifat kerjasama itu seperti sebulat suara bersetuju dengan lapan tuntutan Bersih 2.0, selain menguatkan lagi dasar-dasar bersama Pakatan melalui Buku Jingga.

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke turut bersependapat bahawa DAP-PAS mempunyai kekekuatan yang tersendiri dan sememangnya berbeza dari sudut wadah perjuangan.

Beliau menambah, kerjasama rapat yang sedia ada antara PAS dan DAP ini sudah cukup memberi ancaman kepada UMNO-BN, walau pun kerjasama ini belum betul-betul kukuh.

“Cabaran yang paling penting buat DAP ialah meyakinkan orang bukan Melayu untuk menyokong PAS, dan cabaran bagi PAS pula ialah meyakinkan Melayu-Muslim menyokong DAP. Kdua-dua parti ini pula bersama dengan PKR bagi membulatkan tekad dan usaha Pakatan Rakyat,” katanya.

Beliau tidak menafikan kerjasama erat itu, terutamanya di kalangan golongan muda, sudah membuahkan sedikit hasil dengan memberi contoh perhimpunan aman Bersih 2.0 baru-baru ini yang mana berjaya memecah tabu kaum, agama, dan budaya. – Roketkini.



No comments:

Posting Terkini