Pages

Wednesday, July 13, 2011

Dokumen RM25 juta tak lengkap

SHAH ALAM – Bekas suami jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya iaitu Bukhari Mohd. mendakwa bekas peguam N. Pathmanaban menyediakan perjanjian jual beli hartanah di Pulau Pinang bernilai RM25 juta yang tidak lengkap.
Saksi ke-24 itu memberitahu, terdapat enam perkara penting yang diusulkan kepada bekas peguam berkenaan sehingga perkara itu mencetus perdebatan antara jutawan kosmetik dengan Pathmanaban.
“Peguam Pathma bagaimanapun kata dia seorang peguam yang sudah lama dan berpengalaman menyebabkan Sosi hanya mendiamkan diri,” kata ahli perniagaan itu kepada Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Terdahulu, ketika ditanya bila dia mengenali Pathmanaban, Bukhari berkata, Sosilawati membawanya berjumpa dengan bekas peguam itu di Banting pada 2008 untuk memastikan perjanjian jual beli tanah yang disediakan peguam berkenaan betul.
Ia kerana saksi pernah bekerja lima tahun sebagai pegawai bank dan mempunyai pengetahuan tentang perjanjian jual beli tanah.
Bagaimanapun, Bukhari berkata, perjanjian itu tidak lengkap dan dia ada memberikan beberapa komen berhubung dokumen itu antaranya mengenai maklumat penjual iaitu Allal Kathan Muthuraja tidak lengkap kerana sepatutnya ada nombor kad pengenalan atau nombor pasport.
Selain itu, jelas saksi lagi, nombor syarikat Southern Symphony yang dimiliki Sosilawati juga tidak ditulis, maklumat pembeli iaitu Sosilawati hanya ada tanda tangan dan tiada maklumat pengenalan diri.

No comments:

Posting Terkini