Pages

Wednesday, May 4, 2011

Selangor tubuh Tabung Warisan Bencana

Warta Kerajaan Rakyat - SHAH ALAM:  Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan kumpulan dana Tabung Warisan Bencana dengan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk menampung perbelanjaan sebarang insiden bencana alam yang dihadapi rakyat di negeri itu.
Menurut Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, perkara itu akan dikemukakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) yang bakal bersidang pada 11 Julai depan.

“Ia jadi insurans kepada kita. Kerajaan negeri peruntukan belanjawan bagi kecemasan seperti banjir dan lain-lain. Tapi tidak cukup…maka peruntukan dana RM50 juta ini kita boleh keluarkan apabila berlaku bencana alam.
“Maka pembentangan enakmen akan dibuat di sidang Dun bermula 11 Julai depan dengan dana itu sebagai rezab bagi menjaga kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di bangunan SUK petang tadi.
Khalid berkata satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dengan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai kewangan bertindak menguruskan dana tersebut.
Menurut Khalid, kerajaan Negeri juga tidak menolak sebarang usaha untuk menubuhkan sukarelawan dengan menyediakan peruntukan yang wajar kepada mereka dalam memberi khidmat bantuan ketika berlaku kecemasan.
Rumah mampu milik kepada golongan muda


Sementara itu, Selangor juga bakal menyediakan rumah mampu milik dan disasarkan kepada golongan muda berumur 35 tahun ke bawah dengan pendapatan RM2,500 hingga RM3,000.
Menurut Exco Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad, kerajaan negeri akan menganjurkan seminar pada 14 Jun ini di SACC Mall di sini bagi mendapat maklum balas rakyat mengenai reka bentuk rumah mampu milik tersebut.
“Rumah yang dibina lebih selesa daripada rumah kos rendah. Program pertama dengan 2,000 unit rumah akan dibina dan bakal dilancarkan pada 29 Mei di Bandar Baru Bangi,” katanya.
Menurut Iskandar, kerajaan negeri turut mengadakan pertandingan untuk orang ramai memberi nama bagi program rumah mampu milik itu. Hadiah menarik berupa wang tunai sebanyak RM3,000 sedia menanti orang ramai.
Himpunan masyarakat India
Dalam pada itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), ‘Malaysian Indian Voice’ akan mengadakan himpunan pada 7 Mei ini di Dewan Hamzah, Klang bertujuan untuk menyatakan sokongan masyarakat India terhadap Pakatan Rakyat.
Jurucakap NGO itu, R Ganabati berkata, antara pemimpin PR yang akan hadir termasuklah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Pengerusi DAP Karpal Singh, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, AJK PAS Pusat Mohammad Sabu dan lain-lain.
“Kami cuba mengumpulkan lebih 5,000 penyokong. Ini merupakan gelombang kedua seperti Hindraf dulu. Himpunan ini kita letakkan matlamat berbeza agar kita kaum India menjadi lebih bebas,” katanya kepada wartawan.




No comments:

Posting Terkini