Pages

Sunday, April 17, 2011

Taib perlu berundur segera- Shamsul Iskandar

KUCHING: Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin menggesa  Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengotakan janjinya untuk
berundur sebagai ketua menteri, apabila Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat memerintah Sarawak.
Katanya, Pakatan Rakyat yang berjaya meningkatkan jumlah kerusi di beberapa kawasan Undangan Negeri merupakan isyarat baru daripada rakyat yang mahukan peralihan kuasa segera berlaku di Sarawak.

“Apabila sekali lagi PRN dimenangi oleh BN, maka secara automatiknya, BN perlu mengotakan janji mereka supaya Taib berundur tetapi bukan dalam masa 20 tahun lagi.
“Kemenangan KEADILAN yang berjaya menembus kubu kuat BN di Sarawak adalah satu isyarat baru kepada pemimpin BN di seluruh Sarawak dan juga semenanjung  bahawa rakyat mahukan perubahan dan pastinya banyak berlaku kejutan jika dibandingkan dengan PRN pada 2006,” kata Shamsul kepada Keadilandaily.com.
Tambah beliau, Taib masih boleh mempertahankan kerusi yang dimenanginya di DUN Balingian, namun perlu mengotakan janji untuk segera berundur dari jawatan ketua menteri serta merta.
Sambil menyifatkan BN tidak perlu merasa takbur dengan kemenangan itu kerana Pakatan Rakyat berjaya menembus Sarawak, yang merupakan kubu kuat BN, Shamsul
berkata pilihan raya itu merupakan landasan untuk KEADILAN dan Pakatan Rakyat terus bertapak kukuh di Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan BN  bahawa kemenangan PR juga akan mengubah corak pentadbiran kerajaan negeri itu.
“Pemimpin BN perlu merasa tamparan hebat dengan beberapa kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) yang pastinya akan berlaku perubahan dalam kerajaan Sarawak,” katanya.
“Saya yakin sekiranya Perdana Menteri tidak turun berkempen, pasti BN tidak akan menang di Sarawak dengan mudah,” ujarnya.
Gesaan yang sama hari ini disuarakan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin  yang menegaskan bahawa BN mesti berpegang pada janji untuk mengadakan
peralihan kuasa kerajaan negeri itu.
Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno melahirkan pendirian itu ketika keputusan menunjukkan BN berjaya memperoleh dua pertiga kerusi DUN dan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri bumi Kenyalang.

No comments:

Posting Terkini