Pages

Monday, April 25, 2011

4 individu didedah Raja Petra disiasat


Nama disebut penulis blog boleh didakwa

(Berita Harian) - Empat individu termasuk pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kolonel Azmi Zainal Abidin yang didedahkan pengendali blog, Raja Petra Kamarudin dengan akuan bersumpahnya disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung kes jenayah.
Turut disiasat pengendali blog Malaysia Today itu kerana akuan bersumpahnya dua tahun lalu yang mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar, bagaimanapun menjelaskan siasatan yang dilakukan pihaknya lebih menjurus kepada empat individu yang didedahkan Raja Petra.

Mereka ialah pegawai risik ATM, Kolonel Azmi; penulis blog, Din Merican, selain Nik Azmi Nik Daud dan John Pang.

“Sebenarnya Raja Petra banyak membantu dengan menyalurkan maklumat kepada polis untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar kepada Pejabat Peguam Negara."
“Sebaik keterangan Raja Petra diambil di Bangkok (kelmarin), polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaannya dan pendedahannya (mengenai empat lelaki terbabit),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, dua pegawai polis dari Bukit Aman menemui Raja Petra untuk merekod kenyataannya di hotel tempatnya menginap ketika menghadiri satu majlis dialog dengan Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) di Bangkok.

Sebelum ini, polis sudah merekod keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung pendedahannya mengenai pembabitan mereka menyalur maklumat kepadanya supaya membuat akuan bersumpah dua tahun lalu, bagi mengaitkan Perdana Menteri dan isteri dalam kes pembunuhan Altantuya.

Ditanya sama ada Raja Petra akan ditahan jika pulang ke Malaysia, Khalid enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Saya tidak mahu ulas tentang itu kerana ia belum dilakukan dan berlaku.... kes sedang disiasat dan biar polis menjalankan siasatan secara terperinci."

“Berapa ramai yang sudah diambil keterangan dan akan diambil keterangan juga tidak perlu tahu kerana itu kerja polis.... cukuplah, saya tidak mahu mengulas lanjut perkara itu,” katanya.

No comments:

Posting Terkini