MOSCOW: Sebuah jet membawa 124 penumpang terbakar dan meletup ketika bergerak di landasan bersalji di Siberia hingga menyebabkan tiga orang terbunuh dan 43 cedera. |
Sebilangan besar penumpang dan kru pesawat berjaya keluar sebelum letupan itu berlaku.
Mereka yang terselamat berkata keadaan kelam-kabut apabila asap memenuhi kabin pesawat Tu-154 itu manakala penumpang berebut-rebut mahu keluar.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Encik Vadim Grebennikov, berkata kebakaran bermula di bahagian enjin ketika pesawat tersebut bergerak untuk berlepas.
Dalam kenyataannya, jawatankuasa siasatan berkata: 'Perkhidmatan kecemasan gagal memadamkan api kebakaran dan satu letupan kemudian berlaku. Para penumpang dan kru pesawat berjaya dikeluarkan sebelum letupan itu berlaku.'
Pesawat milik syarikat penerbangan Kogalymavia itu sepatutnya terbang dari bandar barat Siberia, Surgut, ke Moscow.Encik Grebennikov berkata seramai 10 orang mengalami kecederaan serius, termasuk enam yang mengalami kelecuran teruk.
Lagi empat orang mengalami patah tulang.
Sebahagian besar penumpang yang cedera turut mendapatkan rawatan kerana terhidu asap beracun.
Saluran televisyen Russia menunjukkan hanya ekor dan sebahagian sayap pesawat itu yang tinggal selepas kebakaran itu dipadamkan.
Antara penumpang pesawat itu ialah anggota kumpulan pop Russia, Na-Na.
'Kami mulanya mendengar bunyi dentuman dan kemudian ternampak api di bahagian belakang pesawat. Semua penumpang terus menjadi panik,' kata seorang anggota kumpulan Na-Na, Yury Rymarev.
Menurut beliau, pramugari pesawat cuma menenangkan keadaan tetapi api merebak dengan cepat, terutama apabila angin bertiup masuk selepas salah seorang penumpang membuka pintu kecemasaan.
Seorang lagi anggota kugiran itu, Sergei Grigoryev, berkata beliau duduk di bahagian belakang pesawat dan melihat bagaimana sebahagian penumpang melangkah kepala penumpang lain untuk menyelamatkan diri.
Anggota ketiga kumpulan itu, Vladimir Politov, berkata ada penumpang yang begitu terdesak mahu keluar sehinggakan mereka lari melepasi api.
'Hanya satu pintu pesawat yang boleh dibuka. Kami tidak dapat membuka pintu di bahagian tengah. Nampak seperti ia rosak,' kata seorang penumpang, Encik Olga Sytnik. -- AP, AFP.
No comments:
Post a Comment