Pages

Monday, January 3, 2011

Ariel Peterpan, Luna Maya dan Miyabi ditawarkan lakon filem


JAKARTA: Tiga selebriti kontroversial di Indonesia, vokalis kumpulan Peterpan, Nazril 'Ariel' Irham, Luna Maya dan pelakon filem porno kacukan Jepun, Miyabi, akan bergabung berlakon dalam filem arahan sutradara dan penerbit Ody Mulya Hidayat.

Ody berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Luna mengenai filem itu yang belum diberi judul dan pelakon itu tertarik dengan jalan ceritanya.

'Saya juga meminta pandangannya mengenai bagaimana jika saya menawarkan satu watak penting kepada Ariel dan Luna berkata ia suatu idea yang sangat baik.


'Saya kemudian menawarkan satu lagi watak dalam filem itu kepada Miyabi dan dia menerimanya dengan senang hati,' kata Ody, yang dipetik laman web selebriti inilah.com.

Bagaimanapun, Ody menafikan dakwaan sesetengah pihak beliau sengaja mengambil kesempatan daripada kes video lucah membabitkan Ariel dan Luna untuk menghasilkan filem dan mendapat keuntungan.

'Saya sudah lama merancang menerbitkan filem ini. Ketika itu, saya ada menawarkan kepada Ariel untuk berlakon dalam filem arahan saya.

'Bagaimanapun, berikutan masalah Ariel dan perbicaraan ke atasnya, saya hanya dapat menyatakan konsep filem itu saja. Ariel seorang yang berbakat dalam bidang lakonan,' katanya.

Mengenai tawaran kepada Miyabi yang menghadapi bantahan dan tunjuk perasaan, Ody berkata bahawa Miyabi amat berminat berlakon dalam filem di Indonesia.

'Dia menyatakan keinginannya mahu berlakon lagi dalam filem di negara ini.

'Selepas berlakon dalam filem Hantu Tanah Kusir, Miyabi memberitahu saya beliau dapat menyesuaikan diri dengan pelakon tempatan,' katanya.

Sementara itu, di Bandung, perbicaraan kes Ariel membabitkan penyebaran video lucah penyanyi itu akan disambung Khamis ini.

Pegawai pendakwa, Encik Rusmanto, berkata setakat ini, 30 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan.'Kami memanggil lima saksi hari ini (Jumaat lalu). Ada yang tidak hadir dan hanya memberikan keterangan bertulis,' katanya.

Bagaimanapun, peguam Ariel, Encik Rizky Marhendra, berkata beliau yakin pihak pendakwa tidak dapat membuktikan pertuduhan mereka dalam kes itu.

'Apa yang pasti kami akan menentang jika dakwaan dikenakan tidak sesuai,' katanya. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini