Pages

Monday, January 3, 2011

Khusrin: Tiada konspirasi politik BN

Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohamad Khusrin Munawi menafikan wujudnya sebarang agenda politik Barisan Nasional (BN) terhadap pelantikannya sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.
Beliau sebaliknya mempertahankan pelantikannya itu hanya satu prosedur biasa dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tiada sebarang konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat.

“Apa yang saya boleh buat. Keputusan (pemerintahan negeri) ada pada Exco.
“Saya hanya pegawai kerajaan biasa. Saya tidak ada kuasa untuk pengaruhi mana-mana parti politik untuk rampas kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media di pejabatnya disini hari ini.
Khusrin juga turut bertegas untuk terus menghadiri majlis angkat sumpah dihadapan Sultan Selangor Khamis ini walaupun Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan enggan menghadiri sebarang majlis atau keraian berkaitan pelantikan jawatan SUK.

MB Selangor larang Khusrin hadir MMKN
Khalid dalam sidang media tergempar yang berlainan tengahari tadi turut memutuskan untuk melarang Khusrin daripada menghadiri sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai Ex-Officio.
“Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata Khalid.
Mengulas mengenai keputusan Khalid itu, Khusrin bagaimanapun tetap mahu menjalankan tugasnya sebagai SUK.
“Tiada masalah. Saya tahu pelantikan saya berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri adalah sah.
“Saya tahu selagi saya tak sumpah (menyimpan rahsia) dihadapan Menteri Besar saya tak boleh menghadiri mesyuarat Exco.
“Namun masih ada banyak lagi kerja yang perlu saya buat selain menghadiri mesyuarat Exco.
“Selagi tiada arahan JPA untuk tukarkan saya kemana-mana, saya akan terus bekerja sebagai pegawai kerajaan berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendakwa telah menulis surat kepada Menteri Besar dan menghubungi Setiausaha Sulit Menteri Besar untuk berunding tetapi tiada apa-apa maklum balas.
Khusrin pertahan tindakannya
Beliau turut mempertahankan tindakannya menghadapi beberapa isu semasa menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS) sebelum ini hanya mengikut peruntukan sedia ada dan bukannya mempunyai agenda politik tertentu.
Isu tersebut merujuk kepada penangkapan bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abdidin, penarikan balik tauliah terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, isu khutbah Jumaat di masjid tanpa menggunakan teks JAIS dan juga dakwaan beliau berkempen untuk BN semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor April tahun lalu.
“Semua hal yang berkaitan agama Islam dibawah kuasa Sultan Selangor seperti mana yang diperuntukkan dalam undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan Enakmen Pentadbiran Islam Selangor.
“Saya meminta semua pihak agar tidak lagi membesarkan isu yang dipolitikkan agar masyarakat Islam di Selangor tidak salah anggap dengan ulasan dan pandangan yang boleh mengelirukan,” katanya.
Minggu lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin dilantik sebagai SUK yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan, Sultan Sharifuddin Idris Shah.
Pelantikan Khusrin sebagai SUK itu berkuat kuasa hari ini.

No comments:

Posting Terkini