TUNJUK MARAH: Kereta Imam Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb (atas, kiri), yang mengadakan sidang akhbar bersama pemimpin puak Kristian Qibti, Paus Shenouda III, di Gereja Besar Al-Abasseya di Kahirah kelmarin, turut dihalang pembantah Kristian Qibti. Mereka antara lain mengangkat dua orang sambil membuat bentuk salib semasa mengadakan bantahan kerana marah pihak berkuasa gagal melindungi mereka, berikutan serangan bom di sebuah gereja mereka di Iskandaria Sabtu lalu. -- Foto-foto REUTERS
KAHIRAH: Pembantah Kristian yang marah-marah membaling batu ke arah seorang menteri Mesir, sedang kebimbangan semakin bertambah tentang kemungkinan berlaku pergolakan antara puak selepas 21 orang mati dalam satu serangan bom di sebuah gereja di utara negara ini.
Ratusan pengikut Kristian Qibti berhimpun di perkarangan Gereja Besar Saint Mark, yang juga ibu pejabat paus Kristian Qibti, Paus Shenouda III, dan mengganggu pegawai pemerintah yang datang bagi menyampaikan ucapan takziah mereka, lapor agensi berita AFP semalam.
Pembantah malah mengejar Menteri Negara bagi Pembangunan Ekonomi Mesir, Encik Osman Mohammed Osman, ke keretanya dan membaling batu ke arah beliau selepas beliau bertemu Paus Shenouda.
Pembantah lain pula bertempur dengan polis yang mengawal di luar pagar gereja besar itu.
Seorang pegawai polis berkata sekurang-kurangnya 40 anggota polis mengalami kecederaan ringan apabila pembantah membaling batu ke arah mereka.
Sabtu lalu, satu serangan bom dilakukan ke atas Gereja Qibti Al-Qiddissin di Iskandaria, sebuah bandar di utara Mesir, menyebabkan 21 orang terbunuh dan lebih 70 cedera.
Belum ada sebarang pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu, tetapi ia berlaku selepas kumpulan Al-Qaeda menggesa dikenakan hukuman ke atas puak Qibti Mesir berkaitan dakwaan bahawa isteri dua paderi telah ditahan oleh pihak gereja Qibti tanpa kerelaan mereka.
Serangan bom itu dilakukan selang dua bulan selepas sebuah kumpulan sekutu Al-Qaeda mendakwa ia bertanggungjawab ke atas pengeboman sebuah gereja di Baghdad, Iraq, yang dikatakan bertujuan memaksa pembebasan beberapa wanita di Mesir.
Semasa bantahan itu, lebih seribu pembantah memecahkan pagar-pagar dan memenuhi jalan-jalan raya berdekatan, menghentikan kereta, mengetuk-ngetuk bumbung kereta dan melempar batu ke arah mereka.
Awal dari itu, puluhan pembantah cuba mengepung dan menghalang kereta Iman Besar Al-Azhar, Sheikh Ahmed al- Tayeb, seorang ulama kanan Mesir, serta mengetuk-negtuk kereta beliau selepas beliau menemui Paus Shenouda III.Pegawai polis berkata lebih 1,000 pembantah puak Qibti mengadakan tunjuk perasaan di luar bangunan kementerian luar dan stesen televisyen milik pemerintah Mesir.
Ada membaling batu ke arah lalu lintas, mengakibatkan lebih banyak kereta rosak.
Semalam hari kedua berturut-turut puak Kristian Qibti mengadakan bantahan, selepas serangan bom itu.
Ratusan pembantah berhimpun juga di luar gereja di Iskandaria itu sebelum berarak ke jalan raya berdekatan sambil membakar tong-tong sampah selepas polis menghalang mereka mendekati gereja tersebut.
Puak Kristian Qibti membentuk 10 peratus daripada 80 juta penduduk Mesir. Mereka sering mengadu didiskriminasikan.Surat khabar pemerintah dan bebas memberi amaran Ahad lalu bahawa perang saudara boleh tercetus di Mesir kecuali masyarakat Islam dan minoriti Kristian bersatu.
Sementara itu, agensi berita Xinhua News melaporkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, mengutuk keras semalam serangan bom itu sambil menggesa pemerintah Mesir supaya berusaha membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
No comments:
Post a Comment