Pages

Wednesday, January 5, 2011

Jangan politikkan novel Interlok – PAKSI

KUALA LUMPUR: Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) menggesa agar novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein dilihat sebagai satu karya seni sastera dan bukannya dijadikan bahan untuk menimbulkan isu politik perkauman sempit.
Presidennya Che Shamsudin Othman berkata, tidak ada sebab wujudnya gesaan bagi novel yang diterbitkan sempena 10 tahun kemerdekaan (tahun 1967) ditarik balik daripada menjadi buku teks untuk pelajar sekolah Tingkatan 5 yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi subjek Komponen Sastera (Komsas).

Malah badan bukan kerajaan (NGO) itu melihat ia adalah satu isyarat bahawa masih lagi wujud sikap prasangka perkauman yang masih tebal walaupun buku itu diakui Kementerian Pelajaran kerana karyanya yang berkemampuan untuk mengajar murid sekolah tentang erti perpaduan seperti konsep “1Malaysia” yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Paksi turut kecewa dengan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah yang menimbulkan isu berkenaan walaupun novel Interlok sudah wujud 44 tahun lalu tapi tidak pernah ada pembaca yang merasa tersinggung dengan adanya bahagian yang dikatakan menghina itu.
“Dia adalah menteri Kabinet yang dilantik oleh kerajaan Malaysia, dia bukannya daripada NGO, jadi dia sepatutnya lebih matang dengan mengamalkan politik nasional dan bukannya politik perkauman.
“Jika ada aduan tentang buku ini beliau sepatutnya merujuk perkara ini kepada Kementerian Pelajaran dan bukannya buat kenyataan terbuka sehingga menimbulkan salah faham dan masyarakat akan fikir ini adalah perkauman,” katanya dalam sidang media di sini hari
ini.
Ditanya tentang beberapa NGO lain sebelum ini yang mengancam untuk
membakar Interlok kerana menyebut ‘kasta paria’ di halaman 211 novel itu, Che Shamsudin berkata pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa jika masyarakat tidak melihat isi dan mesej keseluruhannya.
Sebuah karya seni
“Kita melihat ini (Interlok) sebagai sebuah karya seni. Timbulnya isu kerana orang tidak melihat novel ini daripada sudut karya seni
tetapi dimanipulasikan sebagai alat politik dan pemikiran perkauman.
“Dalam sejarah perkembangan sastera Melayu, Hikayat Munsyi Abdullah pada tahun 1800-an juga mengkritik masyarakat Melayu sebagai ‘pemalas’ dan ‘suka berjudi’.
“Ia adalah satu pandangan penulis tentang realiti masyarakat ketika itu…begitu juga dengan Interlok yang memaparkan keadaan Tanah Melayu semasa zaman perang Jepun dan bukannya mahu timbulkan
ketegangan perkauman,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan Interlok tidak akan disalah erti oleh pelajar dan meletakkan tanggungjawab tersebut kepada guru mata pelajaran Sastera.
“Tidak ada masalah kerana kami mempercayai keupayaan guru yang mempunyai pengetahuan sastera menerangkan mesej dan keadaan sebenar kepada pelajar,” katanya.
Selain itu, Che Shamsudin juga berkata PAKSI akan mengadakan forum
semasa kempen pilihan raya di Tenang sebagai medan bagi mereka untuk menjelaskan perkara sebenar, namun tarikh dan panel forum itu tidak ditentukan lagi.
Ini merupakan percubaan kali kedua kumpulan NGO sasterawan menggunakan pentas politik semasa pilihan raya selepas isu pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang pernah ditimbulkan semasa pilihan raya kecil Manek Urai Julai tahun lalu.
“Kita nak jelaskan keadaan sebenar dan bukan hendak berkempen, tetapi mereka sudah guna isu ini untuk tujuan politik dan nak letak
calon,” katanya.

No comments:

Posting Terkini