Pages

Tuesday, December 21, 2010

ZAID YAKIN KITA NAMPAK HEBAT NANTI

Datuk Zaid Ibrahim dengan penuh yakin memberi amaran kepada pesaing-pesaingnya — Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) akan membawa impak signifikan dalam pilihan raya umum ke-13 meskipun ahlinya hanya sekitar 300 orang sekarang.

Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini berkata, walaupun parti barunya kecil dari segi keanggotaan, tetapi mampu memberi saingan kepada kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) dengan meletakkan calon-calon yang berkualiti.
“Sudah pasti kami boleh lakukan. Ya, kami sudah ada sejumlah calon. Saya tidak boleh mengatakan berapa ramai, tetapi ya, saya salah seorang daripada mereka.
“Kami ada keanggotaan yang kecil jumlahnya, hanya kira-kira 300 orang, tetapi bukan aspek keahlian yang menentukan sokongan, tetapi kualiti pemimpin-pemimpin kami,” kata beliau kepada The Malaysian Insider dalam satu pertemuan eksklusif baru-baru ini.
Rabu lalu, parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) yang berpangkalan di Kelantan ditukar menjadi Kita selepas Zaid dipilih sebagai presiden yang baru.
Zaid , yang keluar PKR bulan lalu berkata, bilangan keanggotaan Kita dijangka meningkat berlipat ganda dalam beberapa bulan akan datang menjelang pilihan raya umum ke-13.
Bekas menteri Kabinet ini juga mendakwa bahawa sementara musuh-musuhnya sudah pun menyangkal kesan kehadiran mereka dalam landskap politik negara, Zaid masih percaya pihaknya “sudah pun membawa kelainan” setakat ini.
“Saya percaya saya sudah pun bawa banyak kelainan (setakat ini). Jadi oleh itu, kehadiran kami akan dirasai,” kata beliau yang juga seorang peguam, menyertai Umno sebelum dipecat akhir 2008.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Baru pada 2004 semasa masih dalam Umno dan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu atas tiket PKR-Pakatan tetapi tewas.
Sambil berkata beliau membiayai Kita, Zaid menjelaskan bahawa pihaknya sedang menghimpunkan sumber-sumber untuk menghadapi menghadapi pilihan raya umum akan datang, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.
Katanya, calon-calon yang mewakili Kita kemungkinan sepadan dengan mereka yang mewakili BN ataupun Pakatan Rakyat tetapi barisan calonnya mampu menarik sokongan memandangkan ia membawa dasar-dasar dan idelologi yang baik tanpa hanya terlibat dalam perkara-perkara yang remeh-temeh dengan parti saingan.
“Kami tidak banyak wang, jadi kami akan membelanjakan wang yang kecil jumlahnya tetapi kami akan berjuang bersandarkan pada kepercayaan kami, ideal kami, dasar-dasar kami,” kata beliau.
Zaid juga menekankan bahawa beliau tidak menggunakan Kita untuk mendapatkan “populariti segera” bagi dirinya selepas keluar dari PKR, di mana beliau bertanding jawatan timbalan presiden tetapi menarik diri dengan mendakwa wujud kecacatan dan manipulasi dalam proses pemilihan.
Zaid menyertai PKR pertengahan tahun lepas. “Memperoleh populariti segera atau cepat, bukan itu yang saya mahukan.
“Anda kena menang berdasarkan sesuatu yang substantif. Dari segi itu, saya tidak berlawan dengan mereka (BN atau Pakatan Rakyat), saya tidak perlu menyertai permainan mereka.
“Saya bermain dalam perlawanan yang saya rasakan terbaik untuk rakyat. Saya mahu tangani isu-isu rakyat, bukannya bermain politik atau hanya melaung-laungkan slogan,” kata beliau lagi.
Sehubungan itu, Zaid yakin bahawa rakyat akan melihat tawaran Kita dengan baik tanpa melihatnya sebagai ahli politik gilakan kuasa.
“Orang ramai boleh mengatakan apa sahaja mereka mahukan, saya tidak bebas daripada semua ini.
“Tetapi saya pasti bahawa rakyat akan memandang saya dengan baik,” kata beliau sambil menambah, orang ramai masih menganggapnya sebagai seorang yang mempunyai prinsip dan seorang pemimpin yang tidak gementar untuk bercakap mengenai ketidakadilan.
“Jadi, saya lega dengan pandangan sedemikian,” katanya lagi. Kata Zaid, objektif Kita ialah membawa “kewarasan” kepada arena politik Malaysia yang didakwa “berbalah” di semua peringkat.
“Ia sangat bersifat kombatif tetapi bukan spesifik. Ia seperti enam lelaki buta bercakap mengenai seekor gajah tetapi menggambarkan dengan cara yang berbeza.
“Seorang bercakap mengenai Ketuanan Melayu, kemudian seorang lagi bercakap mengenai Ketuanan Rakyat,” katanya yang turut mengkritik Pakatan Rakyat dan BN hanya bercakap tentang slogan tetapi gagal menyelesaikan isu-isu menyentuh kepentingan rakyat seperti perkauman, mengadakan dasar ekonomi yang baik, keselamatan dan lain-lain.
“Pakatan tidak menyelesaikan apa-apa pun. Mereka hanya berminat untuk menang pilihan raya,” kata Zaid yang berpendapat perikatan itu sebenarnya tiga parti berasingan yang cuba mahu mendapatkan kuasa daripada BN.

No comments:

Posting Terkini