Pages

Tuesday, December 21, 2010

PENGURUS SIME DARBY DAKWA DISEKSA

Bekas pengurus kanan Sime Darby Engineering telah dikenakan tuduhan rasuah yang melibatkan bayaran sejumlah RM200,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Beliau ialah Mazhazmi Jamaluddin (gambar) yang dihadapkan bagi menerima pertuduhan menerima bayaran tersebut daripada MLC Shipbuilding Sdn Bhd pada 31 Disember 2008 dengan mendakwa syarikat pembinaan perkapalan itu memperoleh kontrak bernilai AS$134.2 juta (RM421.6 juta) dari Sime Darby.

Beliau yang berumur 36 tahun dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah dan mengaku tidak bersalah dan memohon dakwaan beliau dibicarakan. Kontrak yang dilibatkan di sini adalah membina dan menjual satu pelantar dan beberapa perkakasan berkaitan dengan operasi pelantar tersebut.
Jika beliau didapati bersalah, beliau boleh dipenjarakan tidak lebih dari 20 tahun, denda sekurang-kurangnya RM10,000 di bawah Akta Anti Rasuah. Beliau didakwa menerima rasuah tersebut daripada pemilik MLC, Redzuan Goh Mohamed Karian di pejabat MLC.
Peguam Mazhazmi memohon mahkamah membenarkan jaminan pada harga RM10,000 dan memberitahu anak guamnya memberi kerjasama penuh selama ini kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di dalam penyiasatan mereka. Tetapi pihak pendakwaraya diketuai oleh Kevin Morais memohon hakim meletakkan RM20,000 sebagai wang jaminan yang akhirnya dipersetujui oleh hakim Rozilah Salleh.
Namun begitu, peguamnya memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu telah dikenakan tekanan secara mental dan fizikal oleh para pegawai penyiasat SPRM. Antaranya beliau dipaksa berbogel, ditutup mata dan sebagainya.
Mazhazmi mendakwa dirinya dipaksa untuk mengaku perbuatannya itu oleh pihak SPRM dan pegawai SPRM pernah menyebut perkataan ’Mampuslah kau nanti.’. Hakim berjanji akan membangkitkan isu penggunaan kekerasan SPRM nanti apabila perbicaraan dimulakan pada 7 Januari tahun hadapan nanti.-KLToday

No comments:

Posting Terkini