Pages

Monday, December 20, 2010

Zaid mahu saman Karpal atas dakwaan fitnah

Zaid 3Oleh Staf FMT
PETALING JAYA: Pengerusi Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim hari ini mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh atas tuduhan memfitnah.
Beliau dalam kenyataannya hari ini berkata, tindakan saman itu akan diambil berhubung dakwaan Karpal semasa Konvensyen Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang, semalam.

"Karpal gelarkan saya sebagai ‘celaka’ dan menuduh saya upah gengster Umno untuk bakar bangunan Majlis Peguam pada tahun 1988 semasa kes Tun Salleh Abas (bekas Ketua Hakim Negara).
"Tuduhan Karpal ini palsu dan celaka. Malangnya peguam saya sedang bercuti jadi saya akan failkan saman terhadap Pengerusi DAP tidak lama lagi.
"Karpal ingat dia ni kebal dan boleh menghina peguam dan hakim yang dia tidak suka sewenang-wenangnya.
"Ucapan beliau semasa di Konvensyen Pakatan tidak patut diberikan pujian dan tepukan gemuruh. Beliau bukanlah seorang wira atau singa, tetapi ular," bidasnya.
Sebulan lalu, Zaid mengambil keputusan meninggalkan PKR dan menyertai KITA, selepas kecewa dengan ketelusan proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat PKR terutamanya mengenai perebutan jawatan Timbalan Presiden.
Karpal semasa di Konvensyen PR semalam berkata beliau sebelum ini telah memberi amaran kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak menerima Zaid masuk PKR kerana latar belakangnya sebagai bekas Menteri Undang-Undang itu tidak boleh dipercayai.
"Saya sudah berada dalam perofesion undang-undang lebih daripada 40 tahun…saya tahu siapa Zaid," kata Karpal semalam.
Pemimpin veteran DAP juga mendakwa semasa krisis kehakiman pada lewat 1980-an, Zaid merupakan ‘budak suruhan’ mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Zaid, seperti yang didakwa Karpal, menaja sekumpulan gengster supaya membakar bangunan Majlis Peguam di Kuala Lumpur.
"Saya pernah memberi amaran kepada Anwar tentang Zaid. Saya akan cabar jika Anwar menafikannya," katanya.
Zaid juga berkata akibat beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadapnya oleh pemimpin Pakatan, isu untuk KITA menyokong Pakatan menjadi semakin mustahil.
"Mereka juga menafikan tugas saya sebagai koordiantor Pakatan. Tak mengapa. Sekarang Karpal pula kata saya budak suruhan Mahathir. Pelik rasanya jika benar saya ini budak suruhan Mahathir, mengapa saya langsung tidak dibenarkan masuk ke Taman Ekuestrian Putrajaya," katanya.
Respon terhadap dakwaan itu juga, Zaid turut mengkritik Karpal semasa di Parlimen pada tahun 1997 pernah menggesa kerajaan mempercepatkan siasatan terhadap Anwar atas tuduhan liwat "kerana ular ini pada ketika itu mendakwa telah berjumpa dengan ‘mangsa’ dan turut merujuk kepada pengisytiharan berkanun.
"Ular ini meyakinkan orang ramai bahawa Anwar bersalah. Namun sekarang sudah tentu pandangannya berbeza sejak menjadi peguam bela kepada Anwar.
"Sebelum beliau menjadi peguam bela Anwar dalam kes ‘Liwat II’, beliau juga pernah mengecam Anwar apabila mempersoalkan kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan pernah beberapa kali mengejek Anwar sebelum ini.
"Kini beliau seorang peguam bela untuk kes ‘Liwat II’. Sebenarnya beliau tahu segala-galanya tentang Anwar dan situasi ini sukar buat Anwar membebaskan dirinya daripada cengkaman DAP.
"Malang buat Anwar kerana beliau kini dibelenggu dalam cengakaman (Timbalan Presiden PKR) Azmin (Ali), Karpal dan hanya Tuhan sahaja yang tahu selain mereka.
"Kita tengok sahaja jika beliau nak saman saya kerana saya gelarkan dia ular, saya juga akan saman beliau kerana fitnah yang dilemparkan terhadap saya.
"Saya bersyukur kerana pernah menyertai Pakatan..hanya bersama dengan mereka saya dapat mengenali wajah sebenar mereka," katanya.
Sementara itu, Zaid sekali lagi menegaskan KITA akan menjadi sebuah parti politik dan tidak akan merasa bimbang dengan tanggapan orang lain.
Malah Zaid yakin rakyat Malaysia akan melihat KITA berdasarkan keikhlasan dan kekuatan parti itu mengendalikan sesuatu isu.
"Kita tidak akan mudah ‘mesra’ kepada sesebuah parti politik lain untuk mencapai populariti dan mendapat sokongan rakyat dengan mudah.
"Jika KITA bersatu dengan parti lain pun itu hanya kerana berkongsi pemikiran dan ideologi yang sama," katanya.

No comments:

Posting Terkini