PETALING JAYA: Naib Presiden PKR yang baru dilantik, N Surendran bertekad untuk membela nasib semua kaum di negara ini dari kezaliman dan penganiayaan.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti di atas kepercayaan melantik beliau pada 18 Disember lalu, beliau berkata:
"Pengalaman mengajar saya bahawa banyak masalah yang kita hadapi hari ini boleh diselesaikan melalui proses politik, untuk membuat perubahan dan reformasi serta cara bagaimana mentadbir negara ini."
Beliau berkata, "sedikit pun saya tidak merasa sangsi akan kebolehan PKR dan dalam skop yang lebih luas Pakatan Rakyat, mempunyai kemampuan melaksanakan perubahan bagi mewujudkan Malaysia yang lebih adil, saksama dan makmur.
"Tidak seperti parti komponen Barisan Nasional, PKR merupakan sebuah parti pelbagai kaum yang berjuang untuk kepentingan semua kaum di negara ini," tambahnya.
"Saya mengakui wujudnya berbagai masalah yang dihadapi oleh berbagai golongan masyarakat di negara ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Surendran berkata, "masalah-masalah ini harus dilihat dari sudut keperluan tiap-tiap komuniti. Saya sedar tentang masalah serius yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini dan bertekad untuk menanganinya, seiring dengan masalah yang dihadapi oleh komuniti lain.
"Tidak ada komuniti atau segolongan masyarakat di negara ini yang dapat hidup senang dan tenteram jika saudara-saudara mereka dari kaum lain masih hidup susah dan sengsara," tegas beliau.
Katanya, "sebagai peguam hak asasi manusia dan aktivis, saya telah mewakili mangsa dari pelbagai kaum seperti Kugan, bekas tentera udara Tharmendran, Aminulrasyid Amzah dan Norizan Salleh.
"Sebagai Naib Presiden saya akan terus membantu semua rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan warna kulit," tegasnya.
No comments:
Post a Comment