SHAH ALAM: Tekad kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tidak membenarkan slogan 1Malaysia dilekat atau dikibarkan di premis kerajaan dan tempat awam kerana slogan palsu itu berselindung disebalik matlamat politik dan mengelirukan rakyat.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, justeru itu, kerajaan negeri juga tidak akan mengeluarkan dana bagi membiayai program yang berkaitan dengannya.
"Slogan 1Malaysia merupakan satu slogan politik Barisan Nasional (BN) yang sebenarnya bercorak perkauman tetapi bersembunyi disebalik slogan itu," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambahan pula katanya, slogan itu diciplak dan bukan diilhamkan oleh rakyat di negara ini. Apatah lagi para pemimpin BN gagal memberi hujah kukuh tentang kewujudan 1Israel, 1Singapore dan 1Indonesia.
Faekah berkata, PR Selangor tidak mengharapkan Kerajaan Persekutuan membantu menyebarkan maklumat mengenai program-program anjuran kerajaan negeri seperti Program Merakyatkan Ekonomi Selangor.
"Namun kita kesal sikap tidak profesional mereka yang saban hari memburuk-burukkan program yang kita jalankan. Meskipun tiada langsung niat untuk membalas dendam, persoalannya, wajarkah kerajaan negeri membantu mempromosikan satu slogan hipokrit BN?," soal beliau.
Menghukum tanpa bicara
Beliau menjelaskan, rakyat Malaysia khusus di Selangor harus faham slogan 1Malaysia telah menghukum tanpa bicara Ketua Pembangkang Malaysia dan digantung dari Parlimen selama enam bulan.
"Slogan ini jugalah yang menggantung tiga Ahli Parlimen PR dan mengakibatkan ratusan ribu rakyat yang mereka wakili tidak mendapat hak mereka sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Slogan inilah yang menghalang suara mereka di bawa ke Parlimen," katanya.
Menurut beliau, Umno yang kian terdesak dengan tekanan penolakan terhadap politik perkauman, cuba menjadikan 1Malaysia sebagai sandaran mendapat sokongan. Hujah kononnya 1Malaysia menyokong semangat muhibbah begitu rapuh dan dangkal sekali.
"Parti-parti komponen BN sendiri berasaskan pemikiran perkauman yang sempit. Pentadbiran Umno-BN pula bertanggungjawab penuh atas ketegangan kaum yang wujud di Malaysia walaupun telah merdeka 53 tahun.
Ujar beliau, "dua pimpinan tertinggi Umno juga keliru dengan pendekatan yang terbaik. Perdana Menteri memperkenalkan 1Malaysia manakala Timbalan Perdana Menteri tanpa segan mencabulinya dengan memperjuangkan ‘Melayu Dahulu’.
"Konfrontasi ini yang sebenarnya telah meracuni fikiran setiap peringkat pimpinan BN yang seterusnya meracuni minda rakyat dan mewujudkan perasaan tidak selesa antara kaum," terang beliau.
No comments:
Post a Comment