Pages

Thursday, December 2, 2010

Seoul rancang adakan lebih banyak latihan perang


DITEMPATKAN SEMENTARA DI INCHEON: Penduduk Pulau Yeonpyeong, yang melarikan diri selepas pulau itu dibedil Korea Utara minggu lepas, berehat di sebuah pusat perlindungan sementara di bandar Incheon, Korea Selatan, semalam. -- Foto AP

SEOUL: Korea Selatan bercadang mengadakan lebih banyak latihan tentera selepas kapal perang Amerika Syarikat beredar sebaik saja latihan bersama selama empat hari tamat semalam, lapor agensi berita Yonhap.


Sewaktu kapal induk Amerika, USS George Washington, keluar dari perairan Korea menuju ke Jepun, Seoul bercadang mengadakan latihan artileri selanjutnya 'termasuk di perairan dekat Laut Kuning bersempadan (Korea Utara)' mulai Isnin ini, lapor Yonhap.

'Latihan itu penting kerana ia menunjukkan komitmen pakatan Korea Selatan- Amerika untuk bertindak balas tegas terhadap sebarang pencerobohan Korea Utara,' kata pegawai kanan Ketua Staf Bersama Tentera Korea Selatan.

'Kami sudah berbincang dengan Amerika mahu mengadakan banyak lagi latihan tentera secara bersama bagi menangani pencerobohan pihak musuh,' kata Kolonel Kim Young-Cheol, tetapi tidak menyatakan sebarang tarikh, tambah Yonhap.

Semalam, Seoul malah meletakkan peluru berpandu dari bumi ke udara di Pulau Yeonpyeong bagi menghadapi sebarang serangan lanjut Korea Utara.

China, yang menentang keras latihan tentera Amerika-Korea Selatan di Laut Kuning, menggesa semua pihak mengelak tindakan yang boleh 'memburukkan lagi keadaan'.

'Pihak berkaitan patut bertenang dan berusaha memulih keadaan menerusi dialog dan rundingan,' kata Menteri Luar China, Encik Yang Jiechi, seperti ditukil Xinhua.

Semalam, anggota parlimen kanan China, Encik Wu Bangguo, mengadakan rundingan dengan Speaker Parlimen Korea Utara, Encik Choe Thae-Bok.

'Dasar strategik pemerintah ialah mengukuh dan meningkatkan kerjasama dan hubungan baik dengan Korea Utara,' kata Encik Wu.

Langkah Perancis dan Britain agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk program nuklear Korea Utara dan serangan ke atas Pulau Yeonpyeong terhalang di- sebabkan bantahan China.

Beijing menuntut agar dibuang istilah 'mengutuk' dan 'pencabulan', kata para diplomat.

Pengarah Perkhidmatan Risik Nasional (NIS) Korea Selatan, Encik Won Sei- hoon, semalam berkata Korea Utara mungkin melancarkan serangan lain sebaik kapal perang Amerika beredar dari perairan Korea Selatan.

'Besar kemungkinan Korea Utara akan melancarkan serangan seterusnya,' kata beliau kepada satu jawatankuasa Parlimen semalam. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini