Pages

Thursday, December 2, 2010

Lebanon kian 'tunduk' kepada Iran dan Syria


WASHINGTON: Pemerintah Lebanon kini semakin 'tunduk' kepada Iran dan Syria, yang membantu mempersenjatai semula kumpulan Hezbollah.

Demikian anggota Kongres Amerika Syarikat dari Parti Republikan, Cik Ileana Ros-Lehtinen, memberitahu duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Terje Roed-Larsen, kelmarin.

Cik Ros-Lehtinen, yang meng- anggotai Jawatankuasa Ehwal Luar Dewan Perwakilan, berkata beliau bimbang usaha Amerika dan PBB di Lebanon gagal mengekang pengaruh Hezbollah yang semakin kuat.


'Hezbollah, dengan bantuan Iran dan Syria, kini mempunyai semakin banyak senjata.

'Pemerintah Lebanon menjadi semakin tunduk kepada Iran dan Syria. Garis pemisah antara Angkatan Tentera Lebanon dengan Hezbollah kini semakin pudar,' kata Cik Ros-Lehtinen.

'Kita perlu mempunyai wawasan jelas apa yang kita mahu dan bagaimana mencapainya.

'Yang penting, kami mesti melindungi keselamatan Amerika dan sekutu kami, menjamin kedaulatan Lebanon, dan memastikan mereka yang bertanggungjawab di atas pembunuhan (mantan) perdana menteri (Encik Rafiq) Hariri, didakwa,' kata beliau.

Encik Roed-Larsen ditugaskan menyelia Resolusi 1559 yang diluluskan Majlis Keselamatan PBB pada 2004, yang menggesa agar 'dibubarkan semua militia di Lebanon dan senjata mereka dilucutkan'.

Ketegangan kian meningkat di Beirut sewaktu Tribunal Khas Lebanon (STL) yang disokong PBB bersiap hendak mengeluarkan pendakwaan ke atas suspek serangan bom yang membunuh Encik Hariri dan 22 mangsa lain pada 2005.

Tribunal belum mengesahkan laporan bahawa ia akan mendakwa anggota Hezbollah berhubung pembunuhan itu.Pemimpin Hezbollah, Sheikh Hassan Nasrallah, berulang kali berkata beliau sudah siap menghadapi apa yang bakal berlaku dan memberi amaran akan bertindak balas. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini