Tuesday, December 21, 2010
Sekilas Dunia
Lulus draf putus hubungan diplomatik
TEHERAN: Jawatankuasa keselamatan nasional dan dasar luar Parlimen Iran kelmarin meluluskan draf usul bagi memutuskan hubungan diplomatik dengan Britain.
Anggota panel, Encik Mohammad Karamirad, berkata jika ia diluluskan oleh Parlimen, hubungan diplomatik, budaya dan ekonomi dengan London akan merosot ke 'sifar'.
Ia akan jadi pelajaran kepada Britain 'bagaimana hendak berurusan dengan rakyat Iran'. - AP.
Presiden Sudan janji pinda perlembagaan
JUBA (Sudan): Presiden Sudan, Encik Omar Hassan al-Bashir, kelmarin berjanji akan menukar Sudan menjadi sebuah pemerintah yang ditadbir dengan Hukum Syariah jika wilayah selatan memilih untuk berpisah dalam pungutan suara bulan depan.
'Kami akan meminda perlembagaan,' kata beliau dalam satu ucapan menerusi televisyen.
'Syariah dan Islam akan menjadi sumber utama perlembagaan, Islam agama rasmi dan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi,' tegas beliau.
'Jika Sudan Selatan memisahkan diri, kami akan pinda perlembagaan. Ketika itu tiada lagi cakap-cakap mengenai keragaman budaya dan etnik,' tegas Encik Al-Bashir. -- Reuters.
Jeneral Thai nafi askar akan undur dari sempadan
BANGKOK: Panglima tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chanocha, semalam menafi laporan bahawa askar Thai dan Kemboja akur akan berundur dari sempadan dekat candi Preah Vihear.
Beliau berkata ia hanya satu penyesuaian pasukan yang dikerah sepanjang sempadan dekat candi itu bagi mengelak konfrontasi.
Ini menyusuli langkah Kemboja yang melakukan penyesuaian lebih dulu.
'Ia hanya satu penyesuaian. Tidak ada perjanjian antara kedua- dua negara. Pengunduran bergantung kepada kerajaan,' jelas beliau sebelum berlepas ke Kemboja untuk satu lawatan muhibah selepas dilantik menjadi panglima baru tentera Thai. -- Agensi.
Aquino bingung hukuman ringan mantan jeneral
MANILA: Presiden Filipina, Encik Benigno Aquino, kini kebingungan selepas seorang mantan jeneral yang dituduh menggelapkan hampir AS$7 juta ($9.23 juta) dana pemerintah dibenarkan menjalani hukuman penjara yang singkat, menurut seorang penasihat semalam.
Encik Aquino meminta pegawai pendakwa menjelaskan tawaran yang membolehkan Carlos Garcia, yang dipecat dan dipenjarakan, dibebaskan selepas enam tahun dalam penjara, kata jurucakap presiden, Encik Edwin Lacierda.
Garcia dibebaskan selepas berjanji akan memulangkan sebahagian dana yang digelapkan dan membayar ikat jamin terhadap pertuduhan lebih ringan minggu lalu.
Dia mengaku bersalah terhadap dakwaan melakukan sogokan dan pembersihan wang jenayah. -- AP.
Labels:
Dunia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment