Kenyataan Media
Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh
Hebahan : 30 Disember 2010
Saya mengharapkan agar 2011 akan menjadi tahun perubahan, tahun yang akan dianugerahi keselamatan dan keadilan untuk rakyat Malaysia di seluruh dunia.
Saya percaya, rakyat Malaysia akan bersama-sama menjadikan perubahan dalam sistem pentadbiran negara suatu realiti menerusi Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Perubahan sedemikian akan berupaya melahirkan kestabilan demokrasi, memastikan tadbirurus baik negara dan merealisasikan Buku Jingga Pakatan Rakyat.
Pemilihan saya sebagai Naib Presiden Parti Keadilan baru-baru ini telah menggerakkan fokus saya terhadap The Way Forward, Mengorak Langkah Masa Depan demi memastikan parti ini kekal berpegang pada nilai-nilai yang akan sentiasa berkembang, menjadikan ia sebuah parti yang berintegriti, adil dan saksama terhadap anggotanya dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Saya percaya, ini adalah tanggungjawab politik saya agar kita bersama-sama istiqamah dalam melakukan perubahan, terus membangunkan KEADILAN dan juga negara yang kita warisi, bersama-sama rakan seperjuangan kita dalam Pakatan Rakyat, PAS dan DAP.
Melaksanakan apa yang wajar dan memastikan bahawa pengorbanan anggota parti dan juga rakyat sekaliannya tidak dipersia-siakan. Untuk sentiasa mendahulukan kepentingan bersama dengan mendokong prinsip dan nilai yang kita yakini bersama.
Untuk melangkah ke hadapan, pencapaian sehingga kini, dan pengajaran daripada masa lalu perlu dinilai semula, seterusnya membentuk masa hadapan yang berpandukan realiti politik semasa, di mana rakyat kini semakin celik dan jelas tentang hak dan tanggungjawab mereka dalam menegakkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan adil. Sebagai sebuah parti politik yang ingin menjadi harapan baru rakyat, sewajarnyalah KEADILAN juga jelas tentang perjuangan dan halatujunya, bukan semata-mata jelas mengenai lawan dan persaingan terhadapnya.
Langkah masa depan bagi KEADILAN adalah dengan memenuhi harapan untuk menyerlah sebagai tautan terkukuh dalam komponen parti Pakatan Rakyat, agar kepercayaan rakyat tetap utuh terhadapnya, dengan itu rakyat akan rela memberi mandat kepada KEADILAN, menerusi Pakatan Rakyat bersama rakan-rakan PAS dan DAP, untuk mentadbir Putrajaya dalam usaha memenuhi tuntutan Agenda Reformasi, yang merupakan tujuan asli perjuangan KEADILAN. Agenda Reformasi mendokong prinsip-prinsip pencerahan politik, ketuanan dan pemberdayaan rakyat serta kewujudan sebuah masyarakat dan negara madani di Malaysia. Sebagai Naib Presiden KEADILAN, saya akan memberi sepenuh komitmen untuk membina portfolio yang berkaitan dengan pembangunan politik berasaskan nilai ini. Adalah diharapkan politik berasaskan nilai ini akan menjadi dasar kepada sistem, kepolitikan dan gerakan politik dalam KEADILAN.
Justru, marilah kita menyambut tahun baru ini dengan penuh optimis dan keyakinan diri, berlandaskan kepada apa yang telah dicapai dan akan kita capai bersama.
Fuziah Salleh
Naib Presiden
Parti Keadilan Rakyat
No comments:
Post a Comment