Pages

Thursday, December 30, 2010

Selproa cadang sidang DUN tergempar tolak pelantikan Khusrin

Khusrin Munawi

SHAH ALAM: Persatuan Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Selangor (Selproa) mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengadakan sidang tergempar bagi menolak pelantikan Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.
Presiden Selproa Abdul Razak Ismail berkata tindakan itu perlu bagi menjamin kepentingan rakyat Selangor dipelihara.
“Saya cadangkan agar ahli-ahli Dewan Undangan Negeri mengadakan sidang tergempar menolak pelantikan Khusrin. Kita tidak mahu Khusrin jadi duri dalam daging sepanjang pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor,” katanya.

Beliau juga menganggap tindakan mencadangkan Khusrin kepada Istana Selangor sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, menunjukkan kerajaan Unmo Barisan Nasional (BN) memperalat institusi istana.
“Istana dipergunakan sekali lagi untuk mengesahkan tindakan kerajaan Umno BN untuk melakukan rampasan kuasa di Selangor.
“Sedangkan, Bab 3 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor menunjukkan, pelantikan SUK tidak wajib mendapat perkenaan Sultan kerana SUK akan melapor terus kepada Menteri Besar,” kata Razak yang percaya ia bertujuan mengulangi tragedi rampasan kuasa di Perak.
Mengulas lanjut, Razak berkata, jika benar ura-ura Khusrin akan mengangkat sumpah sebagai SUK di hadapan Sultan Selangor pada 5 Januari ini, ia bertentangan dengan tradisi pelantikan SUK.
“Biasanya, SUK mengangkat sumpah pelantikan depan Menteri Besar sebagai simbol kerjasama rapat antara pegawai kerajaan dengan pentadbiran Menteri Besar, katanya.
Pelantikan Khusrin sebagai SUK baru berkuatkuasa mulai 1 Januari diumum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan beberapa hari lalu.
Khusrin sebelum ini adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan terlibat dengan pelbagai kontroversi sebelum ini, antaranya tangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin atas tuduhan mengajar tanpa tauliah di Selangor.
Beliau juga terbabit dengan kontroversi isu amaran keras terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki sebuah surau sedangkan ia tidak bertentangan dengan fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Namun, Khusrin tidak berbuat apa-apa apabila Ahli Parlimen Hulu Selangor dari BN, P Kamalanathan yang turut melakukan perkara sama di surau ketika kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, didedah kepada umum. - FMT

No comments:

Posting Terkini