Pages

Tuesday, December 14, 2010

Korea Selatan adakan latihan pertahanan awam besar-besaran


SEOUL: Korea Selatan akan mengadakan satu latihan pertahanan awam besar-besaran minggu ini terhadap apa yang disifatkannya sebagai kemungkinan berlakunya serangan-serangan oleh pesawat Korea Utara, di tengah-tengah ketegangan berlanjutan menyusuli serangan bom Korea Utara bulan lalu, kata para pegawai semalam.

Latihan itu akan diadakan pada 2 petang (waktu tempatan) esok, dengan sedozen pesawat pejuang Korea Selatan menerbangi ruang udara di serata negara itu bagi mewujudkan satu simulasi serangan udara, kata Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan negara tersebut.


'Bersama semboyan-semboyan serangan udara, orang ramai akan diminta melarikan diri ke arah sekitar 25,000 tempat perlindungan yang diuruskan pemerintah atau kemudahan bawah tanah awam lain,' kata pegawai agensi itu, Encik Yoo Byung-Koo, kepada agensi berita AFP.

Korea Selatan, yang sehingga kini masih secara teknikal berperang dengan Korea Utara sejak tercetusnya konflik antara dua negara itu pada 1950-1953, lazimnya mengadakan latihan seperti itu tanpa menggunakan pesawatnya tiga kali setahun.

Ia biasanya tidak dipedulikan oleh orang awam di negara itu.

'Tidak seperti sebelumnya, latihan Rabu ini akan memberi fokus ke arah membimbing orang ramai ke tempat-tempat perlindungan kecemasan itu,' kata Encik Yoo.

'Ini akan menjadi latihan terbesar sejak bertahun-tahun lamanya. Kami berharap orang ramai akan menjalaninya dengan serius,' tambah beliau.

Di kawasan-kawasan sempadan, menurutnya, akan diadakan serangan-serangan yang disimulasikan, sama seperti dilancarkan oleh unit-unit meriam Korea Utara.

Korea Selatan sedang berada dalam keadaan berjaga-jaga yang tinggi sejak Korea Utara menyerangnya pada 23 November lalu di sebuah pulau dekat sempadan yang dipertikaikan di Laut Kuning, yang mengorbankan empat orang termasuk orang awam.

Serangan itu mencetuskan satu krisis serantau.

Sejak itu, Seoul telah mengadakan latihan tentara laut dengan Amerika Syarikat. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini