SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini kelmarin diberitahu Koperal Jenain Subi, yang didakwa menyebabkan kematian seorang remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, memulangkan senjata yang diambilnya sebelum memulakan tugas rondaan pada 25 April lalu, kecuali 21 butir peluru 9mm.
Saksi Pendakwaan ke-17, Pendaftar Keluar Masuk Senjata di Stor Senjata Api, Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam, Lans Koperal Ismail Daud, berkata ketika menyerahkan submesingan MP5 kepada Koperal Jenain pada 9.59 malam 25 April lalu, anggota peronda itu turut menerima empat kelopak peluru dengan setiap satu berisi 25 butir peluru 9mm dan satu beg peluru.
Menurut Lans Koperal Ismail, Koperal Jenain hanya menyerahkan semula tiga kelopak peluru berisi 25 butir peluru setiap satu, manakala satu kelopak peluru lagi hanya mengandungi empat butir peluru 9mm pada 6.42 pagi 26 April lalu.
'Selepas saya kira, satu kelopak peluru didapati kurang 21 butir. Peluru yang diserahkan sebelum itu ialah 100 butir,' katanya seperti ditukil akhbar Berita Harian Malaysia semalam.
Lans Koperal Ismail berkata begitu ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar dalam perbicaraan kes Jenain, 48 tahun, yang dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid, 14 tahun, di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11 di sini pada 1.10 pagi 26 April lalu.
Lans Koperal Ismail memberitahu mahkamah Koperal Jenain mengaku melepaskan tembakan tetapi tidak pasti berapa peluru yang digunakan.
Awal dari itu, Inspektor Muhammad Radhi Abdul Hamid, 29 tahun, seorang pakar penembak bagi semua senjata api, mengakui belum pernah menggunakan submesingan MP5 dalam kenderaan yang bergerak.
Ketika disoal peguam Koperal Jenain, Encik M. Athimulan, beliau mengakui tidak mudah menembak sasaran dalam keadaan begitu. -- BHM, NST.
Friday, October 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment