MANILA: Satu letupan bom dalam sebuah bas penumpang di pulau Mindanao, selatan Filipina, menyebabkan sembilan orang mati dan 10 cedera semalam, kata para pegawai keselamatan.
Bas membawa 50 orang itu dalam perjalanan dari Cagayan de Oro, sebuah pelabuhan dan bandar perindustrian, apabila letupan berlaku sekitar 10.30 pagi. Letupan itu begitu kuat sehingga dua mangsa putus kepala mereka, kata ketua polis, Encik Gil Meneses.
'Lapan orang mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi di hospital tempat mangsa lain dirawat kerana cedera terkena serpihan logam,' kata panglima tentera wilayah tengah Mindanao, Mejar Jeneral Anthony Alcantara.
'Askar kami kini membantu polis menyiasat letupan itu. Kami masih belum tahu motif serangan,' kata beliau.
Sejauh ini belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab di atas serangan itu. Namun, pemberontak komunis dan pemisah Moro bergiat aktif di Matalam, di wilayah Cotabato Utara, tempat serangan berlaku.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang, berkata pihak berkuasa mengesyaki kumpulan pemeras ugut Al-Khobar terlibat dalam serangan itu.
Ini kerana syarikat bas itu pernah menjadi sasaran peras ugut sebelum ini.
Menurut pihak berkuasa, Al- Khobar adalah geng pemeras ugut paling kejam di wilayah itu. Anggotanya terdiri daripada penjenayah dan bekas pemberontak. Ia sering menyerang perniagaan yang enggan membayar wang tebusan.
Kumpulan itu termasuk dalam senarai pertubuhan pengganas Amerika Syarikat.
Pada April tahun lepas, dua bom buatan sendiri meletup dalam sebuah bas menyebabkan konduktor dan lima penumpang cedera. Satu serangan bom di terminal bas di Cotabato pada Februari tahun lepas menyebabkan dua orang cedera.
Pada tahun sama, tentera Filipina berjaya menangkap salah seorang pemimpin Al-Khobar, Mokasid Dilna, yang dikatakan mendapat latihan di kem militan di Afghanistan dan Pakistan pada 1990-an. -- AP, Reuters.
Friday, October 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment